Generasi Kedua FELDA Terima Saguhati

LABIS- Seramai 50 penduduk gene­rasi kedua Felda Tenang yang selesai melakukan sendiri kerja membersih dan menambak tapak rumah mereka dikejutkan dengan penerimaan wang saguhati penyediaan tapak rumah sebanyak RM500 seorang daripada Felda.

Salah seorang daripada mereka yang ditemui, Mohd. Fuad Abd. Rahman, 42, berkata, pemberian wang saguhati tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban mereka, malah membuktikan kerajaan sedia ada bersifat adil dan sentiasa berusaha membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

image“Sebenarnya sebelum ini kami tidak mengetahui pihak Felda akan melakukan kerja-kerja membersih dan menambak tanah tapak rumah generasi kedua menyebabkan kami mengambil keputusan melakukannya sendiri.

“Malah, kami juga tidak menge­tahui mengenai pemberian wang saguhati ini dan ramai yang terkejut ketika dimaklumkan mengenainya,” katanya selepas mene­rima wang tersebut dalam satu majlis ringkas di Balai Rakyat Felda Tenang, di sini semalam.

Saguhati tersebut disampaikan oleh Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim.

Seorang lagi penerima saguhati, Manan Omar, 46, turut berkongsi rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan ke­rana sudi menghulurkan bantuan kepada generasi kedua bagi membersihkan tapak rumah masing-masing.

“Mungkin jumlah yang diterima hari ini tidak dapat menampung jumlah kos sebenar yang dibelanjakan, namun wang tersebut mampu meringankan beban peningkatan kos sara hidup ketika ini.

“Kesempatan bertemu dengan wakil rakyat juga memberi peluang kepada kami menyuarakan permasalahan yang ada,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia