RISDA terus bela pekebun kecil getah

SEGAMAT 5 April – Sokongan padu berterusan pekebun kecil getah kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) adalah penting bagi memastikan agenda pembangunan ekonomi dan taraf hidup mereka dapat dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, RISDA merupakan antara agensi kerajaan yang komited sebagai peneraju komuniti pekebun kecil di negara ini sejak ditubuhkan pada tahun 1973 lagi.

“Pelbagai program dilaksanakan RISDA selama ini bagi memastikan produktivi serta pendapatan pekebun kecil dapat ditingkatkan termasuk sistem Amalan Pertanian Baik (GAP) sebagai amalan pertanian mengikut piaiwaian.

“Semua program yang diperkenalkan, jika diamalkan dengan displin akan dapat mengurangkan risiko dan impak negatif terhadap alam sekitar,“ katanya ketika merasmikan Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat RISDA Johor di projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB) Pauh Manis, di sini semalam.

imageAyub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah pada masa sama turut menggalakkan pekebun kecil getah berusaha mengukuhkan ekonomi masing-masing dengan mempelbagaikan hasil produk pertanian dan tidak bergantung kepada satu pengeluaran sahaja.

Sementara itu Pengarah RISDA, Mohamad Sahlan Mahnoon berkata, RISDA telah menetapkan sasaran produktiviti bagi setiap hektar kebun getah adalah sekurang-kurangnya 1,800 kilogram setahun menjelang tahun 2020 bagi setiap peserta program kelolaannya.

“Bagi merealisasikan produktiviti tersebut, pelbagai program pengembangan dan latihan khusus bertujuan meningkatkan kemahiran perkebun dan produktiviti ladang pekebun kecil dilaksanakan. Selain GAP, RISDA turut menyedia dan melaksana Program Pengekalan Getah (PPG) meliputi pemberian peralatan menoreh dan racun rumpai.
“Bagi tahun ini sahaja RISDA memperuntukkan RM1.9 juta melalui Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) meliputi pemberian baja dan bahan rangsangan lateks kepada pekebun kecil yang menoreh,“ katanya.

Tambah Mohamad Sahlan, program Prasarana Asas Pertanian (PAP) pula memberi tumpuan terhadap pembangunan jalan pertanian, parit dan pembetung bagi memudahkan pengangkutan dan pemasaran hasil ladang. RISDA juga turut menyediakan kemudahan seperti pembinaan depo jualan, pusat timbang dan stor.

Sumber: Utusan Malaysia