Periksa Struktur Bangunan Sekolah

BATU PAHAT 3 April – Jabatan Pendidikan diminta memeriksa dan memantau struktur binaan semua sekolah di negeri ini terutamanya yang berusia lebih 50 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Puan Sri Azizah Zakaria berkata, pemantauan tersebut amat penting bagi memastikan tahap keselamatan kepada warga sekolah terjamin.

Menurutnya, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, pelbagai kejadian tidak diingini boleh berlaku seperti ribut yang melanda dan merosakkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail, di sini kelmarin.

image“Kita bernasib baik apabila kejadian itu hanya menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang pelajar yang terkena atap zink yang tercabut dipukul ribut.

“Malah, sekolah itu juga berusia 50 tahun dan memerlukan pemeriksaan terhadap semua struktur bangunan untuk memastikan tahap keselamatan,” katanya semasa melawat sekolah tersebut, di sini hari ini.

Dua buah blok bangunan sekolah tersebut mengalami kerosakan di bahagian bumbung selain beberapa peralatan dan bilik darjah turut terjejas.

Dalam kejadian itu, seorang pelajar tingkatan dua, Muhd. Hi­syam Mohd. Adam terpaksa me­nerima lapan jahitan di kaki akibat terkena atap ketika dalam perjalanan ke kantin.

Azizah berkata, pihaknya turut menyalurkan bantuan awal berjumlah RM15,000 kepada pihak sekolah berkenaan untuk menampung kos membaiki kerosakan tersebut.

Selain itu, Azizah yang juga Penaung Program Malam Semarak Kasih sempena Sambutan Jubli Emas sekolah itu pada 11 April ini berharap ada pihak lain tampil menghulurkan bantuan.

“Kita mahu kerosakan yang dialami dibaik pulih segera bagi membolehkan para pelajar dapat kembali mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran seperti biasa,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia