Peniaga patuh, laksana perkara berkaitan GST

JOHOR BAHRU 1 April – Harga kebanyakan barangan yang dijual di premis di negeri ini masih kekal biarpun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan mulai hari ini.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nor Nekman Jaimon berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pihaknya turut mendapati peniaga memberi kerjasama yang baik.

GST JOhorSebagai contoh, hasil tinjauan dilakukan di pusat beli-belah City Square mendapati, peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.

“Hari ini kita dengan Jabatan Kastam negeri melakukan pemeriksaan pematuhan ke atas 80 premis di City Square dan mendapati peniaga mematuhi dan melaksanakan perkara berkaitan pematuhan GST.

“Kita juga mendapati ada juga harga barangan seperti barang kemas tidak berubah walaupun turut dikenakan GST,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan di City Square, di sini.

Yang turut hadir Penguasa Kastam Bahagian GST negeri, Har Khairul Rosdin Baharuddin.

Dalam pada itu, Nor Nekman turut memaklumkan masih ada beberapa peniaga yang belum menjalankan pematuhan GST dan mereka diberi tempoh 14 hari untuk melaksanakan sistem sukai baharu itu sebelum sebarang tindakan diambil oleh pihak kastam.

Seramai 204 anggotanya ditugaskan untuk memantau pelaksanaan GST bersama-sama dengan agensi lain termasuk pihak kastam, katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya turut mewujudkan bilik gerakan bagi membolehkan peniaga atau pengguna mendapatkan maklumat jelas tentang pelaksanaan GST.

“Bilik gerakan tersebut dibuka selama 24 jam selama seminggu bermula hari ini dan boleh dihubungi di talian 07-2200308, manakala pihak kastam boleh dihubungi menerusi talian 07-2202005,” katanya. – Utusan