HELP Tuisyen Di Perluas Di Lapan Parlimen Di Negeri Johor

Mersing, 2 April – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor menyambut baik langkah Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan Pemuda UMNO Malaysia (Biro HELP) yang telah menambah pusat Tuisyen HELP di negeri Johor.

Pengerusi Biro HELP Negeri Johor, Hishammuddin Hussin berkata, pada tahun lalu, Johor melaksanakan di dua pusat Tuisyen HELP ini iaitu di Parlimen Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Tahun ini, penambahan sebanyak enam buah pusat tuisyen menjadikan lapan kawasan parlimen berbanding dua pada tahun lalu iaitu Johor Bahru, Pasir Gudang, Sekijang, Seri Gading, Penggerang, Sembrong, Pagoh dan Mersing.

10401897_1593521854228489_7605262060411939050_n“Kita juga berterima kasih kepada Pengerusi Biro HELP, saudara Nazir Hussin Akhtar Hussin yang telah memberikan peluang seluas-luaskan kepada Pemuda di negeri Johor dalam melaksanakan program Tuisyen HELP ini yang merupakan satu inisiatif parti menaik taraf hidup masyarakat, terutamanya dalam pendidikan, untuk membantu pelajar-pelajar Melayu khususnya dari keluarga yang kurang berkemampuan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

HELP Tuisyen yang bertemakan ‘Ringan Beban, Bina Masa Depan’, diberikan secara percuma kepada 100 pelajar-pelajar terpilih yang terdiri daripada mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mersing.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani berkata, hasil pelaksanaan program HELP Tuisyen ini di Johor Bahru pada tahun lalu, sedikit sebanyak menjadi tambah nilai kepada para pelajar yang terpilih.

“Tahun lalu, kita laksanakan program ini tiga bulan sebelum Sijil Pelajaran Malaysia, namun tahun ini, kita akan bermula lebih awal, dijangka pelaksaannya pada awal Jun ini sebelum bercuti pada bulan Julai menjelang Sambutan Hari Raya Aidil Fitri sebelum disambung semula pada bulan Ogos sehingga SPM.

“Para pelajar HELP tuisyen yang berjaya dapat keputusan cemerlang akan dibantu untuk melanjutkan pengajian di IPTA dan pusat-pusat pengajian di bawah MARA manakala pelajar yang dapat keputusan kurang memuaskan akan dibantu untuk menceburi bidang kemahiran di institut-institut kemahiran yang disediakan di bawah MARA.

“Ini adalah bukti UMNO sentiasa mengambil kira kesusahan golongan yang memerlukan bantuan dan bukan setakat mendapatkan pendidikan sempurna, malahan sehinggalah mereka melangkah ke alam pekerjaan. UMNO sentiasa kotakan janji dalam membantu rakyat, meringankan beban seharian khususnya dalam pendidikan anak-anak” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Biro HELP, Pemuda UMNO Malaysia.