Gunakan Kuasa Pengguna Ajar Peniaga Ambil Kesempatan – Norrulhuda Marsidin

KUALA LUMPUR, 3 April – `Gunakan Kuasa Pengguna’, ‘Customer Always Right’, adakah ini hanya sekadar ungkapan yang biasa kita dengar, atau kita sebagai pengguna benar-benar menggunakan kuasa tersebut dalam mempertahan haknya sebagai pengguna.

Mungkin ianya satu persoalan, namun ungkapan-ungkapan ini tidak akan bermakna dan ia tidak mendatangkan apa-apa kesan sekiranya seseorang individu tidak mempunyai maklumat mengenai hak-hak sebagai seorang pengguna.

Sehubungan itu, Pengerusi Biro Pengguna Puteri UMNO Malaysia, Norrulhuda Marsidin menyarankan agar masyarakat perlulah celik dan faham mengenai hak-hak sebagai pengguna, antaranya seperti hak untuk mendapatkan perkhidmatan dan barangan yang baik, mendapatkan informasi, membuat pilihan, menyuarakan pendapat, mendapat ganti rugi serta mendapat pendidikan kepenggunaan.GST JOhor

Manakala jika membicarakan mengenai sikap segelintir peniaga yang tidak jujur dan tamak yang suka mengambil kesempatan menaikkan harga barang tanpa alasan munasabah pula, beliau menyarankan agar rakyat menggunakan pelbagai saluran yang telah disediakan oleh kerajaan.

Tambah beliau lagi, masyarakat perlulah menggunakan kuasa sebagai pengguna melalui platform yang terbaik itu untuk bersama-sama menangani masalah segelintir peniaga yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan menaikkan harga, seperti yang berlaku kononnya disebabkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ini.

“Walaupun kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kastam Diraja telah menubuhkan pasukan penguatkuasanya, kita sebagai pengguna ini, haruslah mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi bersama-sama membantu menjadi mata dan telinga.

“Kerajaan telah mewujudkan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 sebagai satu mekanisme untuk mengekang kenaikan harga, dan seharusnya kita tidak boleh berdiam diri atas salah laku peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga.

“Jangan beri muka kepada mereka yang didapati ingkar ini, kerajaan wajib bertegas supaya hukuman yang dikenakan mampu dijadikan pengajaran kepada yang lain,” tegas beliau kepada portal UMNO-Online.

0d7401_e4cc3ce9f1dd42c29172a23923af8587.jpg_srb_p_105_154_75_22_0.50_1.20_0Justeru itu, bagi membantu pihak kerajaan menangani isu yang dekat di hati rakyat itu, di samping peranan beberapa persatuan pengguna, pihak Biro Pengguna Puteri UMNO Malaysia telah berusaha memohon Biro Pengguna Puteri UMNO di peringkat negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan pembantu hal ehwal pengguna daerah bagi memantau harga barangan terutama barangan keperluan dan yang tertakluk kepada harga kawalan.

“Gunakanlah kuasa pengguna, ambil tahu, fahami hak pengguna dan bukan ambil mudah, jadilah pengguna yang bijak, rujuk buku panduan harga yang telah disediakan serta gunakanlah sebaiknya aplikasi Mykira itu.

“Cara paling mudah ialah simpan sahaja nombor hotline KPDNKK 1800 88 6800, Jabatan Kastam 1300 88 8500 atau 1 Malaysia Call Centre 03 8000 8000,” kata Exco Puteri UMNO Malaysia itu lagi.

Selain itu, sebarang info, aduan dan permasalahan perkara yang berkaitan juga boleh didapati dan diajukan di dalam laman web gst.customs.gov.my, kpdnkk.gov.my, treasury.gov.my atau eaduan.kpdnkk.gov.my.

Begitu juga dengan perkhidmatan pesanan ringkas (sms); KPDNKK ADUAN (butiran aduan) dan hantar ke 15888.

Isu pelaksanaan GST menjadi semakin hangat apabila terdapat usaha-usaha pihak yang tidak bertanggungjawab membina persepsi bahawa cukai tersebut menekan rakyat walaupun kajian bank dunia telah menunjukkan ia boleh menjadi sistem percukaian yang progresif jika dilaksanakan dengan betul, dengan syarat perlu mendapat kerjasama daripada semua pihak baik pengilang, pembekal, peniaga dan pengguna, ujar beliau lagi.

“Kenapa wujud segelintir masyarakat membuat pembelian panik pada hujung minggu lalu? Ini kerana mereka lebih mempercayai sesetengah golongan yang berjaya memanipulasi, menyebarkan berita yang tidak betul, yang menggambarkan harga barang akan naik secara melampau.

“Walaupun sekarang ini zaman maklumat di hujung jari, jadilah orang yang ada integriti, gunakanlah ia dengan manfaat, bukan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti dan berunsur pembohongan. Kita sebagai pengguna perlulah ambil peduli akan pelaksanaan sistem percukaian itu yang dilihat lebih telus dan sistematik berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.

Tambah Ketua Puteri UMNO Labis itu lagi, kerajaan bukan sehari dua memperkenalkan dasar sistem percukaian yang baharu ini, telah hampir dua tahun kerajaan memberi penerangan mengenainya, sewajarnya tidak timbul isu yang meresahkan masyarakat jika semua pihak di dalam rantaian sistem itu baik pengilang, pemborong dan peniaga melalui persatuan-persatuan mereka secara efektif mengambil bahagian memberi penerangan perkara-perkara yang berkaitan kepada rakyat.

“Namun, di sebalik semua ini, terdapat hikmahnya di mana secara tidak langsung masyarakat menjadi lebih prihatin dan berhemah di dalam berbelanja, seterusnya mampu merancang dan mengawal kewangan dengan lebih baik, hinggakan resit kini menjadi barangan yang amat bermakna,” ujar beliau.

KPDNKK juga telah menerbitkan dan mengedarkan enam panduan harga pengguna mengikut zon kepada umum yang menunjukkan peratusan perubahan harga barang. Buku ini boleh diperolehi secara percuma dari ibu pejabat KPDNKK, pejabat KPDNKK negeri atau dimuat turun dari laman web KPDNKK melalui pautan http://ebook.kpdnkk.gov.my.