250 000 penguna terjejas, tumpahan diesel

JOHOR BAHRU – Dua loji rawatan air Sungai Johor dan loji rawatan air Semangar, Kota Tinggi dihenti operasi sejak awal pagi ini akibat terdapat tumpahan diesel.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata dua loji tersebut ditutup pada jam 8 pagi susulan satu kejadian tumpahan minyak diesel dikesan di Sungai Johor yang merupakan sumber utama bekalan air dibeberapa daerah utama di negeri ini.

Katanya, penutupan tersebut akan memberi kesan bagi 150 000 pemegang akaun pengguna di daerah Johor Bahru, Nusajaya serta sebahagian kawasan di Kulaijaya dan Senai.

main_ni_2809_p18“Tumpahan minyak ini dikesan berpunca dari sebuah kilang di Felda Taib Andak, yang disyaki membuang diesel pada saluran yang melalui air ke Sungai Johor dan tindakan telah diambil oleh pejabat tanah daerah ke atas premis ini.

“Tindakan sewajarnya telah diambil dari pelbagai pihak termasuk proses pembersihan serta Jabatan Kesihatan juga sedang memantau kualiti air dan memaklumkan pengguna akan mengalami gangguan bekalan bagi tempoh pembersihan dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hasni berkata, proses pembersihan Sungai Johor akan mengambil masa untuk dilakukan dan akan cuba menyelesaikan dalam tempoh segera.

“Kita tidak dapat menganggarkan jangkaan yang tepat bagi membersihkan air di Sungai Johor ini dan ia bergantung kepada keadaan cuaca, sekiranya hujan proses pembersihan ini lebih cepat dapat dilakukan.

“Namun usaha-usaha segera telah dilakukan Syarikat Air Johor (SAJ), Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) dan Jabatan Alam Sekitar dan kita berharap dapat melakukan kerja pembersihan ini dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mengalami masalah gangguan bekalan boleh menghubungi SAJ info Center (SAJiC) di talian 1 800 88 7474 atau SMS 019 772 7474. – Sinar