Sultan Johor, Permaisuri Berangkap Ke Majlis Jamuan Negeri

JOHOR BAHARU– Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat menghadiri majlis jamuan negeri bersempena Kemahkotaan Sultan Johor, di sini malam ini.

Majlis bermula 8.30 malam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu dihadiri kira-kira 1,200 tetamu.

NSTPBerangkat sama ke majlis berkenaan, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, bonda Sultan Ibrahim Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah, para anakanda dan kerabat diraja lain.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri Datin Seri Rosni Omar, barisan exco kerajaan Johor dan ketua-ketua jabatan.

Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan nyanyian oleh beberapa artis termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Haziq AF serta artis kebudayaan Yayasan Warisan Johor.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis itu, berkata kerajaan negeri beriltizam memastikan Johor membangun menjadi negeri terbaik sekali gus penjana ekonomi utama negara ini.

Beliau berkata sehubungan itu, jentera pentadbiran negeri akan terus berusaha menyusun strategi bagi memastikan hasrat berkenaan tercapai.

“Usaha ke arah itu sudah pun dimulakan seawal pembentangan Bajet Johor 2015 tahun lalu. Intipatinya mudah, setiap masyarakat juga punyai tanggungjawab yang perlu digalas di negeri ini,” katanya.