Masalah Awal CBP Akan Diatasi Dalam Tiga Atau Empat Bulan

SHAH ALAM, 1 April — Kementerian Kewangan menjangka masalah-masalah awal berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang dikuat kuasa hari ini, dapat diatasi dalam masa tiga atau empat bulan, kata Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata kementerian telah mengenal pasti kebanyakan masalah tersebut, antaranya syarikat tidak mengeluarkan resit lengkap kepada pelanggan dan juga masalah pakej perisian CBP.

“Kami yakin CBP dapat distabilkan dalam tiga hingga empat bulan walaupun secara realiti ia mengambil masa tujuh ke lapan bulan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke pasar raya Tesco Extra bagi memantau
pelaksanaan CBP, di sini hari ini.

ahmad-maslan-menteri-kewangan-pengguna-rakyat-faham-terima-gst-cukai-telus-lebih-tambah-baikTurut hadir Pengarah Hal Ehwal Berkaitan Kerajaan dan Korporat Datuk Azlam Shah Alias.

Mengenai aduan yang diterima, Ahmad berkata kebanyakannya berkenaan syarikat telekomunikasi (telco) menaikkan harga kupon tambah nilai prabayar dengan memasukkan CBP.

Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Jabatan Kastam telah menghantar surat rasmi mengarahkan mereka tidak mengenakan CBP terhadap kupon tambah nilai, hampir tiga bulan lalu.

Ahmad berkata kupon tambah nilai RM10 masih pada harga sama memandangkan CBP menggantikan cukai sebelum ini yang juga berkadar enam peratus.

“Jika telco masih berdegil untuk menaikkan harga kupon tambah nilai prabayar mereka, maka mereka juga harus melanjutkan tempoh masa bercakap,” katanya.

Mengenai perkara lain, Ahmad berkata sidang media mengenai CBP akan diadakan setiap hari pada 5 petang oleh Pengarah CBP Kastam Datuk T. Subromaniam dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan Datuk Seri Alias Ahmad di Kementerian Kewangan, Putrajaya.