Nafi kuat kuasa tatacara berpakaian

JOHOR BAHRU 28 Mac – Kerajaan negeri hari ini menafikan pihaknya ada membuat perancangan untuk me­nguatkuasakan undang-undang ba­­haru berkaitan tatacara berpakaian, khususnya bagi golongan wanita di negeri ini.

image1Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Karim berkata, berita tersebut adalah palsu dan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat sebelum ini.

“Tidak pernah dibincangkan oleh kerajaan, itu cerita palsu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas penyebaran satu kenyataan melalui aplikasi telefon pintar, WhatsApp yang mendakwa kerajaan negeri bakal menguatkuasakan arahan baharu.image

Antara kandungannya termasuklah wanita yang mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung boleh dikenakan denda sebanyak RM80, membonceng lelaki dan wanita (RM100 bagi wanita) dan (RM80 bagi lelaki) manakala denda RM120 bagi mereka yang memakai seluar ketat.

Kenyataan itu juga menyatakan premis perniagaan perlu menutup operasi mereka selama dua jam bermula pukul 12.30 tengah hari pada setiap hari Jumaat bagi memberi laluan kepada pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.

Ismail turut mengingatkan agar masyarakat tidak cepat terpedaya dengan pelbagai maklumat tidak benar yang semakin kerap dikesan penyebarannya, khususnya melalui media sosial.

 

Sumber: Utusan Malaysia