Jalankan Urus Niaga Telus Apabila CBP Dilaksanakan- Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Peniaga diharap menjalankan urus niaga secara telus dan bertanggungjawab apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dilaksanakan mulai Rabu ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini kerana peniaga yang sengaja mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sesuka hati dan bertujuan mengaut keuntungan semata-mata hanya akan mengakibatkan pengguna menyalahkan kerajaan atas pelaksanaan cukai itu.

ahmad-maslan-menteri-kewangan-pengguna-rakyat-faham-terima-gst-cukai-telus-lebih-tambah-baikSaya mahu ingatkan kepada usahawan, peniaga, pasar raya, pekedai dan syarikat di luar sana bahawa jangan menaikkan harga barang atas sebab yang tidak betul.

“Ini kerana sekarang ini, kisah CBP ini yang paling dikhuatiri orang ramai ialah harga barang naik. Walhal selepas CBP ini, sebahagian barang itu ada yang turun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program ‘Dalam Radar’ terbitan Bernama Radio24 di sini, hari ini dengan membincangkan tajuk ‘Era GST’.

Ahmad berkata kerajaan, dalam melaksanakan CBP, berhadapan dengan tiga kumpulan peniaga iaitu mereka yang langsung tidak ada kemahuan untuk memahami CBP, faham tetapi mengambil kesempatan dan ketiga memang sengaja mengambil kesempatan walau dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, beliau berkata bagi memantau perjalanan dan penguatkuasaan CBP, sebanyak 13,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah ditugaskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Orang ramai juga boleh melayari www.gst.customs.gov.my atau gstmalaysiainfo.com serta www.ebook.kpdnkk.gov.my untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang CBP, katanya.