Tambahan 1,000 polis lagi

JOHOR BAHRU 25 Mac – Polis Kontinjen Johor terus diperkuatkan lagi dengan tambahan kira-kira 1,000 pe­gawai dan anggota pelbagai pangkat pada tahun ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian besar daripada keseluruhan 6,000 pengambilan yang dibuat setiap tahun oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jumlah tersebut juga seiring dengan kepesatan dan kemajuan yang diterima negeri ini terutama di Iskandar Malaysia. Pengambilan baharu itu akan mengukuhkan lagi keanggotaan polis Johor yang kini mempunyai kira-kira 9,000 anggota dan pegawai pelbagai jawatan.

image“Perkara itu turut mendapat kelulusan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Pucuk pimpinan sudah beri komitmen bahawa Polis Kontinjen Johor akan diberikan keutamaan dalam pertambahan anggota memandangkan kemajuan yang sangat pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Johor, Datuk Freddie Long Hoo Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru dan ADUN Kempas, Datuk Tengku Putra Harun Aminurrashid Hamid Jumat.

Sempena majlis berkenaan, seramai 14 orang menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara manakala 114 daripada Ketua Polis Johor.
Dalam pada itu, Ismail turut berharap kerjasama antara masyarakat dan polis Johor akan berterusan supaya dapat bersama-sama membanteras jenayah dan meningkatkan tahap keselamatan.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply