Kenalpasti tanah bina telaga tiub

JOHOR BAHRU – Jabatan Pertanian diminta mengenal pasti tanah yang terjejas teruk akibat kemarau bagi melaksanakan projek telaga tiub.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, langkah itu bagi memastikan bekalan makanan di negeri ini tidak terjejas.

Menurutnya, perlaksanaan projek telaga tiub itu dapat memastikan kawasan pertanian yang terjejas dengan kemarau dapat terus menjalankan aktiviti tanpa mengalami sebarang masalah.

image“Kajian dan proses mengenal pasti itu dijangka akan dimulakan menjelang akhir Mac ini kerana cuaca kemarau yang berlaku kini dijangka berakhir pada tempoh berkenaan.

“Peruntukan akan dikeluarkan kerajaan negeri sendiri dan jika proses kajian berjalan dengan lancar, projek pelaksanaan telaga tiub ini dijangka boleh dilakukan menjelang tahun 2016,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mini Agro Johor 2015 Peringkat Daerah Johor Bahru, di sini, semalam.

Ismail berkata, kemungkinan dua skim akan diguna pakai iaitu pembinaan terus pada kawasan yang terjejas teruk akibat kemarau atau dengan penyediaan sebahagian geran dan sebahagian peruntukan pengusaha pertanian yang terjejas.

Selain itu, katanya, berdasarkan pengalaman tahun lalu, kawasan yang teruk terjejas akibat kemarau adalah di Batu Pahat, Kota Tinggi dan Mersing, namun ia masih berada dalam keadaan terkawal pada tahun ini bagi daerah berkenaan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri mengambil maklum masalah yang berlaku setiap tahun ini dan akan memastikan ia dapat diatasi seterusnya tidak menjejaskan hasrat menjadikan Johor sebagai pengeluar makanan utama negara.

“Kerajaan negeri juga memberi galakan pada individu atau syarikat menjalankan program Pertanian Bandar bagi memberi nilai tambah selain dapat membantu menambah bekalan makanan dalam kawasan masing-masing,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply