Pembuat Dasar Disaran Bukukan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 23 Mac (Bernama) — Pembuat dasar khususnya Kementerian Pendidikan disarankan menterjemahkan peristiwa bersejarah Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini kepada penerbitan buku.

Pengarah Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Kassim Thukiman berkata ini penting bagi membolehkan generasi muda seperti pelajar sekolah khususnya dapat menghayati detik tersebut sekali gus melahirkan rasa sayang terhadap institusi kesultanan.

FW389163_JB18_230315_KEMAHKOTAAN_-e1427102049330“Peristiwa seperti ini yang jarang sekali berlaku, memperjelaskan pengesahan seseorang raja dalam sistem pemerintahan.

“Maknanya, dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, seseorang raja yang dilantik menjadi waris atau Tunku Mahkota harus melafazkan ikrar (memerintah) tetapi itu belum lagi cukup rasmi selagi tidak melalui proses kemahkotaan,”
katanya hari ini.

Kassim berkata dengan fakta sedia ada yang boleh didapati daripada pihak relevan, proses merekod dan menerbit (sama ada dalam bentuk buku sejarah atau buku kenegaraan) tidak akan berdepan dengan sebarang masalah.

Istiadat Kemahkotaan yang berlangsung di Istana Besar hari ini, melakarkan sejarahnya tersendiri selepas kali terakhir berlangsung 55 tahun lepas.

Kali terakhir ia diadakan pada 10 Feb 1960 ketika istiadat kemahkotaan Almarhum Sultan Ismail Almarhum Sultan Ibrahim.

Leave a Reply