Perluas khidmat guaman percuma

JOHOR BAHRU – Sukarelawan Belia Barisan Nasional (BNYV) bercadang untuk memperluaskan program khidmat nasihat guaman secara percuma ke seluruh negara bagi membantu golongan memerlukan.

Pengarahnya, Akmal Saufi Mohamed Khaled berkata, selepas sambutan baik di Johor, pihaknya akan memperluaskan program itu ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu dengan pembabitan lebih 200 ahli BNYV.

image-1Menurutnya, program secara santai itu menjadi platform mereka yang mempunyai pertikaian mendapatkan khidmat nasihat berkaitan masalah undang-undang termasuk soal wasiat, tuntutan harta pusaka mahupun hak pekerja.

“Ini program julung kali dan Johor menjadi destinasi pertama. Masih ramai individu khususnya generasi muda mempunyai masalah berkaitan undang-undang dan tidak tampil menyelesaikannya hingga terdedah untuk diisytihar muflis pada usia muda.

“Mereka mungkin tidak mengetahui saluran yang betul dan khidmat nasihat yang kita berikan ini sekurangnya dapat memberi keadilan kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, pada masa sama, ini peluang ahli BNYV termasuk peguam profesional berbakti kepada masyarakat.

Beliau ditemui selepas hadir program berkenaan di pejabat Ahli Parlimen Johor Bahru, semalam.

Pada program itu, kira-kira 50 individu hadir bagi mendapatkan nasihat guaman percuma disediakan 20 peguam muda yang juga ahli BNYV.

Sementara itu, peguam, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, walaupun sentiasa sibuk, namun ia bukan alasan untuk tidak berkongsi ilmu dengan masyarakat.

“Saya melihat platform ini amat baik untuk saya membantu mereka yang memerlukan dan sambutan diterima amat menggalakkan walaupun cuma setengah hari.

“Saya harap lebih ramai tidak kira jawatan tampil menjadi sukarelawan BNYV dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat kerana khidmat kita amat diperlukan.

“Kami di sini tidak mengambil kes aduan sebagai punca pendapatan sebaliknya memberikan nasihat percuma yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dihadapi dan seboleh-bolehnya biarlah ia diselesaikan di luar mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja kimpalan, Mohamad Azral Md Noh, 25, berkata, khidmat disediakan membantunya memahami undang-undang termasuk hak majikan dan pekerja.

“Rakan saya tengah susah, majikan dia potong elaun kerja lebih masa hingga dua atau tiga jam walaupun cuma masuk kerja lambat seminit. Peguam nasihatkan lihat semula kontrak kerja. Saya rasa khidmat ini bagus dan perlu diteruskan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply