Cadangan Cuepacs tutup peluang orang muda

SEGAMAT – Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam untuk melanjutkan umur persaraan hingga 62 tahun dilihat seperti mahu ‘mematikan’ peluang orang muda dari menjawat jawatan awam.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, alasan Cuepacs yang mengambil contoh daripada negara-negara luar seperti Amerika Syarikat yang menetapkan umur persaraan 65 tahun juga tidak rasional.

“Sebenarnya cadangan Cuepacs ini hadir selepas tiga tahun setelah kerajaan meluluskan umur persaraan daripada 58 hingga 60 tahun dan pada waktu itu, Cuepacs juga turut mengambil contoh daripada negara lain.

image“Saya bimbang jika selepas ini ada negara lain yang melanjutkan tempoh persaraan sehingga 70 tahun, Cuepacs akan sekali lagi mencadangkan perkara yang sama dan ini akan menafikan peluang orang lain terutamanya golongan muda,” katanya.

Anuar yang juga Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) berkata, beliau juga berharap supaya Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa supaya komited bahawa cadangan tersebut tidak akan dilaksanakan.

Menurutnya, beliau yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut juga sebaliknya mahu peluang diberikan kepada golongan muda dan belia untuk bersama-sama mencorakkan masa hadapan negara.

“Kita perlu lihat realiti saban tahun bahawa ratusan ribu graduan universiti yang sehingga kin masih menganggur dan sebagai calon simpanan untuk jawatan tertentu seperti jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

“Jika cadangan ini diterima dan diluluskan, maka akan kecil peluang golongan ini untuk menjadi penjawat awam yang profesional. Nisbah kekosongan yang ada juga tidak sepadan dengan jumlah graduan yang layak,” katanya.

Menurutnya, beliau mencadangkan supaya Cuepacs memperjuangkan perkara lain yang lebih penting untuk kakitangan awam dan bukannya dengan mengeluarkan cadangan yang cuba menafikan peluang golongan muda.

Katanya, banyak lagi masalah yang boleh dibawa oleh Cuepacs seperti pemilikan aset terutamanya rumah, hutang dan kebankrapan penjawat awam yang dilihat lagi penting untuk diperjuangkan.

Leave a Reply