Pelabur asing lebih yakin dengan GST

LEDANG 18 Mac – Pelabur luar menantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan di negara ini kerana mereka lebih yakin dengan sistem baharu itu yang disifatkan lebih telus, cekap dan sempurna.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, GST tiada masalah dilaksanakan bulan depan kerana sistem itu bukan baharu tetapi diamalkan di kebanyakan negara di seluruh dunia.

“Kebanyakan pedagang atau pelabur antarabangsa tersebut telah tinggal dalam negara yang lebih awal mengamalkan GST ini dan sebab itu saya yakin Malaysia akan menjadi pilihan mereka nanti setelah dilaksanakan.

image“Sebab mereka tahu Malaysia akan menggunakan GST yang lebih kurang sama dengan mereka kerana GST ini adalah satu kaedah cukai yang cekap dan sempurna,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bendera Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Tangkak, Ledang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; ADUN Gambir, Datuk M. Asojan Muniyandy; pegawai daerah Ledang, Ab. Han Ramin dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Mohd. Masni Wakiman.

Hamim berkata, GST mampu membawa negara ini ke tahap lebih maju malah lebih berkesan serta dapat mengelakkan ketirisan berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan ketika ini.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen meminta pihak terbabit berhenti menabur fitnah kononnya pelaksanaan GST boleh menyebabkan keadaan rakyat dan ekonomi menjadi lebih buruk termasuk iklim pelaburan negara.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply