Agro Mini: J-Biotech Sasar RM500,000

JOHOR BAHRU 18 Mac – Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) menyasarkan pula­ngan sebanyak RM500,000 menerusi acara Agro Mini Johor Daerah Johor Bahru yang akan diadakan di Dataran Bandaraya di sini mulai Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, selaku pengerusi urusetia program selama tiga hari itu, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran berkenaan memandangkan penyertaan daripada usahawan amat menggalakkan.

Beliau berkata, program yang dianjurkan sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan menyasarkan jumlah kunju­ngan lebih 20,000 orang.

imageAgro mini ini bertujuan memberi lebih banyak promosi tentang produk pertanian tempatan, selain memberi pendedahan kepada petani mengenai teknologi terkini dalam bidang pertanian dan me­ningkatkan peluang usahawan kecil meningkatkan aktiviti pemasaran.

“Sebanyak 100 gerai jualan produk usahawan dan pameran agensi disediakan sepanjang tiga hari program yang akan dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed pada Ahad ini,” katanya selepas penyerahan replika cek tajaan 2,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia sempena program itu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Naib Presiden Bahagian Hal Ehwal Korporat J-Biotech, Shaharul Hasry Abdul Rahim, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Wilayah Selatan, Musliman Tasim dan Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad Wilayah Selatan, Najibullah Abu Bakar.

Aktiviti menarik yang akan diadakan termasuk pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan, promosi dan jualan produk usahawan, kayuhan aktif bersama selebriti, program keagamaan dan nasyid, pertandingan karaoke Agro Idol serta sukan rakyat.

Wan Amir-Jeffery berkata, J-Biotech juga akan membuka gerai untuk memberi maklumat kepada orang ramai tentang Pusat Pemba­ngunan Bakat Bioteknologi Kebangsaan dan projek pertanian komuniti secara kontrak yang akan diadakan di Kota Tinggi.

“Saya berharap semua pengunjung akan mendapat informasi yang bermanfaat untuk diaplikasikan terutamanya dalam sektor pertanian.

“Malah, usahawan yang terlibat juga diharap dapat menggunakan peluang sedia ada bagi membuka jaringan perniagaan lebih luas dan mendapat hasil jualan yang baik,” katanya sambil memberitahu program serupa akan diadakan di Persiaran Maharani, Muar pada 17 hingga 19 April ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply