UMNO Harapan Melayu

LABIS 16 Mac – Penubuhan UMNO bukan semata-mata sebagai sebuah parti politik untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah, malah menjadi bukti perpaduan dan keyakinan orang Melayu untuk mengisi kemerdekaan negara.

Ketua UMNO Bahagian Labis, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, kewujudan UMNO membawa setiap inci harapan orang Melayu ketika itu yang mahu melihat agama, bangsa, negara serta hak istimewanya dinobat sebagai satu entiti yang tidak boleh disentuh.

“Tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak harus dilihat sebagai penamat bagi UMNO, sebaliknya harus dijadikan titik tolak kebangkitan parti ini dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

image“Sama ada bersedia atau tidak, kita tidak mempunyai pilihan se­lain kembali menyusun gerak dan strategi sambil menjadikan kelemahan sebelum ini sebagai satu pengajaran untuk mengelakkan perkara sama berulang pada PRU-14,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Berkelompok UMNO Cawangan-cawangan dalam Bahagian Labis 2015 di Dewan Majlis Daerah Labis, baru-baru ini.

Mohd. Azahar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, ahli UMNO di semua peringkat mesti bekerja gigih menarik sokongan pengundi bukan hanya untuk kelangsungan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam kancah politik negara, malah bagi mendepani setiap masalah dan mendengar denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, ahli UMNO harus memastikan bahawa parti itu bukan sekadar menjaga kebajikan serta mendapat tempat di hati orang Melayu, malah harus relevan kepada semua kaum.

Dalam masa sama beliau turut menasihati semua ahli UMNO ba­hagian berkenaan supaya me­nge­lakkan berlakunya sebarang perpecahan dalam kalangan mereka kerana perkara itu akan melemahkan parti dan memberi ruang kepada pembangkang mengambil kesem­patan meraih sokongan.

“Jika kita mahu melihat UMNO terus gagah bertahan menempuh setiap gelombang politik yang datang, kita mesti bersatu dan mampu menghidu setiap strategi pihak lawan dengan cepat agar lebih bersedia mematahkannya dengan segala fakta yang ada.
“Ahli UMNO tidak boleh hilang fokus dan merasa selesa, sebaliknya harus sentiasa melipatgandakan usaha mendekati, mendengar dan membantu sebarang masalah yang dihadapi oleh rakyat tanpa mengira kaum dan agama bagi memastikan UMNO terus mekar dalam sanubari rakyat,” katanya.

 

Leave a Reply