Tiada lagi kes baru perumahan terbengkalai

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi jaminan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 118, kes projek terbengkalai tidak lagi akan berulang.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Sadique tindakan tegas diambil terhadap pemaju yang mengakibatkan projek perumahan terbengkalai adalah menyenarai hitam pemaju dan ahli lembaga pengarah.

halimah“Pemaju juga tidak boleh memohon lesen Pemajuan Perumahan serta Permit Iklan dan Jualan bagi projek perumahan yang baharu.

Sehingga kini 1018 syarikat perumahan telah disenarai hitam iaitu melibatkan 146 projek terbengkalai, 337 gagal bayar kompaun, 307 ingkar award tuntutan tribunal perumahan, 131 projek sakit dan 97 pemaju tanpa lesen.

Manakala 3,607 ahli lembaga pengarah telah disenarai hitam secara automatik dan tidak lagi boleh masuk dalam mana-mana syarikat pemaju.

“Secara khususnya kerajaan telah membuat pindaan kepada Akta 118 di dewan yang mulia ini bagi menambahbaik lagi aspek perundangan dan penguatkuasaan ke atas mana-mana syarikat pemaju yang tidak bertanggungjawab termasuklah tindakan terhadap pemaju yang menyebabkan sesuatu projek pemajuan itu terbengkalai.

“Dan melalui pindaan Akta 118 penguatkuasaan terhadap pemaju yang tidak bertanggungjawab dapat dijalankan secara lebih agresif di peringkat kementerian,” katanya.

projek terbengkalaiBeliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mahu mengetahui status dan jumlah projek terbengkalai di Malaysia di Parlimen, Rabu.

Tambah Halimah daripada 216 projek terbengkalai sejak 2009 hingga 31 Januari 2015, 164 projek berjaya diselesaikan manakala 52 lagi masih dalam proses pemulihan.

Walau bagaimanapun katanya semua pembeli rumah mempunyai hak membatalkan perjanjian jika mendapati tiada sebarang proses pembangunan dilakukan.

“Pembeli juga boleh membatalkan perjanjian tersebut jika mendapati tiada sebarang proses dalam masa enam bulan oleh syarikat perumahan tersebut,” katanya.

Leave a Reply