Bukan sahaja isytihar harta tetapi perjalanan ke luar negara

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Cadangan Tengku Razaleigh Hamzah supaya ahli Kabinet dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta dan liabiliti disokong Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Menurut Shahrir, ketika Dewan Rakyat menimbang kenaikkan elaun wakil-wakil rakyat sebelum ini, ia sepatutnya dilaksanakan dalam pakej termasuk membuat pengisytiharan harta.

kulishahrir“Selain isytihar harta, boleh juga dibuat akujanji atau ikrar integriti dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mereka akan simpan dan apabila ada perkara berbangkit, sudah ada rujukan,” katanya.

Shahrir  juga mencadangkan supaya pengisytiharan perjalanan ke luar negara juga perlu dibuat.

“Ahli-ahli Parlimen kena isytihar apa faedah mereka dapat apabila ke luar negara. Siapa taja, apa faedah yang mereka dapat.”

“Bermakna, bukan saja harta tapi kepentingan (apa mereka dapat), itu saya setuju,” katanya kepada BNBBC.my.

Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Selasa mencadangan perkara tersebut kerana ia berkait dengan pertelingkahan kepentingan serta tatacara pemerintahan bagi mengujudkan ‘good governance’.

Menurut Tengku Razaleigh perlingkahan kepentingan ini merupakan suatu masalah serius yang sudah diterima Dewan Rakyat  dan sesuatu yang tidak baik.

“Satu perkara yang ada hubungkait dengan pertelingkahan kepentingan dan sedikit sebanyak boleh membantu mengatasinya ialah dengan pengisytiharan harta dan liabiliti,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu turut mencadangkan, pengisytiharan ini hendaklah dibuat secara berkala dan disimpan oleh sebuah badan bebas yang diwujudkan melalui Akta Parlimen.

 

Sumber: BNBBC

Leave a Reply