7 helikopter bakal serikan Istiadat Kemahkotaan

JH181114ZE001.transformedJOHOR BAHRU – Sebanyak tujuh helikopter jenis Eurocopter EC725, Super Lynx dan Agusta Loh A109 bakal menyerikan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang dijadualkan Isnin ini.

Naib Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri Johor (TSN) merangkap Ketua Perbarisan Kawalan Kehormat, Kapten Jalalludin Hamsan berkata helikopter tersebut akan membuat lintas hormat.

“Semasa lintas hormat berlangsung, tiga daripada helikopter berkenaan iaitu jenis Eurocopter EC725 akan membawa bendera Johor sambil melepaskan asap putih, biru dan merah – simbolik kepada warna bendera Johor,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, ketika ditemui pada majlis raptai penuh Istiadat Kemahkotaan yang diadakan di Istana Besar pagi ini, Jalalludin berkata satu acara perbarisan telah disusun melibatkan seramai 105 pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia selepas Sultan Johor dimahkotakan.

“Selain itu, sejurus Tuanku dipakaikan mahkota, sebanyak 21 das tembakan meriam juga akan dilepaskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari padang Istana Besar di sini sebagai menandakan Tuanku sudah dimahkotakan,” katanya.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut berkenan menyertai raptai yang bermula pada pukul 9.30 pagi ini.

Turut berangkat Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman. Beberapa Exco kerajaan negeri turut hadir. – Bernama

Leave a Reply