Jangan Kita Bersengketa, Yang Rugi UMNO Dan Orang Melayu – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan mengakui persengketaan politik antara sesama ahli UMNO hanya akan merugikan parti dan juga orang Melayu.

Sehubungan dengan itu, peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak agar ahli bersatu dan menggelakkan persengketaan sesama sendiri merupakan satu amanat penting yang harus diperhalusi ahli-ahli UMNO keseluruhannya.

DSC_5065_editSLIDER-e1426486760881“Lupakan sengketa politik dan menjadikan parti itu sebagai platform utama untuk memastikan kaum Melayu terus mendapat mandat sebagai kerajaan yang memerintah. Jangan biarkan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu berulang, ada di kawasan-kawasan tertentu berlaku pertembungan antara calon Bebas dengan calon dari Barisan Nasional (BN).

Undi yang diperolehi oleh calon Bebas yang juga berasal dari parti UMNO itu, digabung dengan undi dari calon BN kita, tempat-tempat yang tertentu BN tidak akan tewas kepada pakatan pembangkang,” ujarnya mengulas saranan Datuk Seri Najib yang mengajak ahli UMNO elakkan persengketaan sebaliknya mengamalkan solidariti, persepakatan dan bekerjasama sesama mereka.

Tambahnya, jika kita bergaduh dan berbalas sesama sendiri, maka BN akan kehilangan kawasan DUN, kehilangan kawasan Parlimen atas perbalahan ini.

“Ianya sudah menjadi satu realiti yang pahit dalam PRU13 lalu, dan perbalahan seumpama itu perlulah dielakkan pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Kita memerlukan idea terbaik untuk memantapkan kepimpinan UMNO dan BN, serta ketepikan kelemahan yang ada untuk kebaikan bersama,” tambahnya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Terdahulu menerusi blog NajibRazak.com, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa UMNO tidak akan berjaya pada pilihan raya umum akan datang sekiranya anggota parti itu bersengketa dan berpecah-belah.

Najib, yang juga Perdana Menteri, berkata untuk itu, anggota UMNO seharusnya mengamalkan solidariti, persepakatan dan bekerjasama sesama mereka.

Beliau turut mengingatkan anggota UMNO supaya mengurangkan permasalahan dalaman dan cantas-mencantas antara satu sama lain selain mengelakkan daripada mewujudkan dua pasukan dalam bahagian parti itu.

Leave a Reply