Pimpinan UMNO Tidak Perlu Melatah, Akar Umbi Tunjang Tangkis Fitnah – Hishammuddin

dshh2Melaka 14 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ahli UMNO di akar umbi adalah benteng kekuatan parti  untuk menangkis segala fitnah dan dakyah yang dilemparkan terhadap parti berkenaan khusususnya usaha melaga-lagakan dikalangan pimpinan parti.

Berucap pada majlis perasmian bersama Persidangan Tahunan  Cawangan – Cawangan UMNO  seluruh Negeri Melaka 2015, di sini malam tadi, Hishammudin menegaskan sekiranya akar umbi berpecah, parti tersebut tidak akan akan dapat dipertahankan dalam menangani serangan pembangkang serta cabaran semasa.

“Pemimpin kita dicemuh…fitnah dilemparkan  terhadap parti kita. Pemimpin-pemimpin kita dilaga-lagakan. Agenda memporak porandakan UMNO berjalan bertubi-tubi. Cukup-cukuplah bersengketa sesama sendiri, setiap ahli UMNO di peringkat akar umbi perlu memberi semangat luar biasa kepada perjuangan parti mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Hancur parti jika semua pemimpin UMNO menari ikut rentak pembangkang, jadi akar umbi perlu juga main peranan pastikan pembangkang tidak ambil kesempatan terutamanya serangan pembangkang masa ini yang mahu melagakan pemimpin dalam parti,” katanya.

Turut hadir pada program berkenaan, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka serta pimpinan UMNO yang lain.

Hishammuddin turut mengingatkan bahawa usaha menangkis serangan pembangkang bukan perkara mudah terutamanya di zaman teknologi canggih pada masa ini.

“Pelbagai cerita tidak betul disebar oleh pembangkang  di media sosial, tiada batasan sehingga anggota keluarga pemimpin diserang, saya sendiri tidak terkecuali menjadi mangsa. Sekarang ini pula kononnya ada tinjauan saya calon paling hebat menggantikan Datuk Seri Najib.

“Dulunya ‘survey’ mengatakan Datuk Hishammuddin ini  tidak layak untuk jawatan Naib Presiden pun dan macam-macam lagi. Ini usaha nak melaga-lagakan pemimpin dan Ini usaha nak lemahkan UMNO. Ini nak menjadikan pemimpin-pemimpin kita melatah.

“Begitu juga dikalangan pimpinan tertinggi yang lain. Dilagakan di kalangan Naib-Naib Presiden dan sebagainya lagi. Kalau  sekiranya pemimpin kita menari dan mengikut rentak mereka hancurlah parti,” katanya.

Justeru katanya kesatuan adalah satu perkara yang cukup penting dan sekiranya akar umbi UMNO berpecah, parti tersebut tidak akan dapat dipertahankan khususnya dalam berdepan serangan pembangkang dan cabaran semasa.

“Akar umbi juga perlu berani mengingatkan pemimpin supaya tidak terpengaruh dan tidak mengikut rentak yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam usaha memastikan parti UMNO kuat,” ujarnya.

Leave a Reply