Membangunkan Johor Melalui Pembinaan Modal Insan – MB

banner_muafakat_johor2JOHOR BAHRU, 13 Mac – Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengajak rakyat Johor untuk terus bekerja keras dalam menangani tiga cabaran paling besar yang akan mendepani Negeri Johor dalam dekad mendatang.

Cabaran pertama adalah bagaimana untuk ekonomi yang kecil tetapi pesat membangun seperti Johor akan kekal luwes dan terbuka agar terus relevan dengan persekitaran ekonomi global dan arus deras globalisasi.

“Cabaran kedua adalah hakikat bahawa kita sebenarnya mempunyai sumber asli yang sangat sedikit. Lalu satu-satunya pilihan yang ada adalah untuk kita membangunkan sumber strategik, iaitu daya dan potensi manusia yang kita miliki. Namun persoalannya, bagaimanakah caranya untuk kita membangunkan bakat, imaginasi, kreativiti dan kepintaran rakyat kita, untuk mendahului persaingan dan melestarikan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara ini?

Manakala cabaran ketiga, adalah bagaimana negeri dengan pluralisme kaum dan agama yang demografinya berubah pantas ini, akan terus kukuh berpadu dan bersatu demi mengekalkan kehidupan bermasyarakat yang sejahtera.

Ketiga-tiga cabaran ini meletakkan kita di satu persimpangan. Satu persimpangan yang memaksa kita untuk terus memikirkan jalan terbaik mendepaninya sebagai sebuah ekonomi dan sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya dalam laman web Muafakat Johor.

Tidak boleh menafikan bahawa Johor sudah menjadi sebahagian daripada sistem ekonomi global, Johor menerima pelaburan langsung asing paling tinggi di Malaysia. Pertumbuhan ekonominya juga menyaksikan keterlibatan syarikat multinasional dan jenama antarabangsa yang berpengaruh.

Oleh kerana Johor adalah sebuah ekonomi terbuka, lalu sifatnya juga global. Maka Johor tidak boleh mengambil pendekatan berdiam diri dalam arus perubahan pantas global ini. Kita tidak boleh berfikir dan bertindak seperti kera sumbang. Seolah-oleh segala perubahan pantas yang sedang berlaku ini tidak akan memberikan kesan kepada kita.

Kesemua perkara ini mendatangkan kesan, dengan mengubah struktur dan landskap ekonomi kita menjadi lebih kompleks. lebih berorentasikan idea, kreativiti, ilmu dan teknologi termaju walaupun sektor ekonomi tradisional terus relevan.

Kompleksnya sistem ekonomi tersebut, maka telah muncul pelbagai corak pekerjaan dan perkhidmatan baharu yang memerlukan kepelbagaian kemahiran dan pengalaman yang bersifat multi disiplin. Yang paling penting, tanpa bakat berpotensi tinggi ini, Johor tidak mungkin dapat beranjak dengan berjaya kepada ekonomi model baharu ini.

Kita harus mempunyai strategi untuk membongkar segenap bakat dan potensi seluruh rakyat Johor. Kita harus membina keupayaan dan kemahiran setiap penduduk agar sumbangan mereka kepada Johor dan Malaysia boleh dimanfaatkan secara optimum.

“Pelaburan untuk pendidikan, latihan dan mengasah bakat terbaik harus bersifat dinamik dan inklusif. Harus dilaksanakan menjangkaui ikhtiar Kerajaan semata. Kerjasama awam-swasta antara Johor Corporation dengan firma-firma terkemuka serta badan-badan tauliah baru baru ini merupakan contoh suatu pendekatan yang segar dan inovatif. Program ini akan menjadi platform baharu kepada para graduan dalam bidang perakaunan mendapatkan kelayakan pentauliahan.

“Sesungguhnya, ini merupakan suatu model baharu dalam pembangunan pendidikan dan modal insan di Malaysia, saya juga ingin menekankan beberapa perkara yang mendorong Kerajaan Negeri Johor amat komited dalam ikhtiarnya memperkasakan bakat dan potensi golongan professional,” ujarnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.

Tambahnya, kerana kepercayaan bahawa aset dan sumber kekuatan ekonomi kita yang terbesar kini sebenarnya adalah akal minda anak bangsa kita. Bukan lagi hasil mahsul dari sumber semulajadi.

Jika Johor mempunyai kekayaan semula jadi yang luar biasa sekalipun, amat malang jika anak-anak watannya, gagal untuk menjadi pengurus dan pengguna yang baik kepada segala kekayaan hasil bumi kita. Tidak kompeten dan tidak setanding dengan bakat-bakat global.

Justeru, menggilap minda dan kemahiran profesional anak-anak Johor bukan lagi suatu pilihan. Sebaliknya, ia adalah satu keperluan mendesak yang tidak boleh sama sekali kita pandang enteng. Dan pentadbiran saya tidak akan sama sekali mengambil mudah hal ini.

Kedua, kita percaya bahawa membangunkan bakat terbaik adalah suatu pelaburan jangka masa panjang. Tetapi impaknya juga tinggi dan berterusan, bukan sahaja kepada seseorang individu tersebut tetapi juga pada bangsa dan negara. Dan kita melakukan ini semua kerana kita mempunyai gagasan besar untuk masa hadapan Johor dan rakyatnya. Iaitu menjadikan Johor sebagai ekonomi terbaik dan negeri termaju di Malaysia.

Maka apa yang kita lakukan hari ini, adalah persiapan jangkamasa panjang yang rapi yang rancak dan yang serius. Semuanya kerana bakat-bakat inilah yang akan menggalas harapan dan tanggungjawab memimpin perniagaan dan pembangunan ekonomi Johor dan Malaysia.

“Pada merekalah, akan kita amanahkan syarikat milikan Kerajaan. Pada merekalah akan kita wariskan kepentingan perniagaan bangsa. Dan pada mereka jugalah, akan kita letakkan kepercayaan dalam agihan ekonomi agar adil, inklusif dan menjaga kepentinganagar ekonomi Melayu dan Bumiputera dapat dipertingkat.

Tidak seperti pelaburan yang bersifat fizikal seperti pembinaan infrastruktur dan prasarana, yang akan mempunyai jangka hayat tertentu dan mengalami susutan nilai, sesuatu bakat dan potensi yang dicungkil dan diasah dengan baik, akan menjadi reputasi diri yang kekal bersinar dan terserlah. Tanpa had, tanpa jangka hayat.

Dorongan ketiga; pembangunan bakat dan potensi diri golongan profesional adalah suatu trend global. Kerana ia adalah pelaburan paling strategik untuk ekonomi yang orentasinya adalah idea, pemikiran termaju, kreativiti, teknologi kontemporari dan inovasi,” tambahnya.
Jika Johor serius untuk menjadi negeri yang paling pesat ekonominya, menjadi kuasa ekonomi bagi Malaysia, tampil sebagai negeri yang mempunyai ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi, maka apa yang kita lakukan hari ini adalah pendekatan paling relevan dan jalan kehadapan.

Keempat, trend global menunjukkan bahawa setakat mempunyai ijazah sarjana muda sahaja sudah tidak memberi apa-apa makna. Malah, mempunyai kelayakan sarjana atau masters dalam keadaan-keadaan tertentu sudah tidak memberikan kelebihan. Ciri-ciri masyarakat berilmu ialah pekerja berilmu akan terus kembali ke sekolah dan universiti, untuk belajar dan terus belajar. Oleh kerana itulah, penarafan dan pentaulihan profesional, sama ada di peringkat antarabangsa seperti ACCA dan ICAEW, mahupun di peringkat tempatan seperti MICPA akan memberikan nilai tambah dan penjenamaan diri yang sangat penting.

Dalam konteks negeri Johor, kita tidak mahu golongan profesional tempatan yang berbakat dan berpotensi besar berhijrah keluar negeri dan negara. Kita sedar ramai bakat terbaik kita yang berminat dengan tarikan yang ditawarkan di tempat-tempat lain. Kita mesti melakukan sesuatu, untuk meyakinkan mereka bahawa di Johor dan Malaysia juga punya masa hadapan yang didambakan. Punyai peluang untuk berkerjaya secara global, dan punyai ruang untuk memajukan kerjaya tanpa batasan.

“Apa yang telah saya utarakan ini, bukanlah sekadar retorik. Ini adalah hasil penelitian yang rapi dan disusuli dengan dasar yang dirangka berdasarkan dapatan yang berwibawa. Pentadbiran saya telah mengorak langkah melangkui konsep kerajaan tradisional. Fokus kita ialah tadbir urus; dan kerana itulah kita sangat serius dalam mencari pendekatan terbaik bagi menjadikan negeri kita lebih makmur, sejahtera dan maju.

Justeru pentadbiran yang memfokuskan kepada pendekatan tadbir urus ini, sangat menitik-beratkan pemantapan potensi dan bakat rakyatnya. Kerana jika kita ingin pemerintahan yang lebih baik; masyarakat yang lebih baik, maka kita memerlukan sumber daya manusia yang juga baik. Maka, atas dasar tersebut, dalam Bajet 2015 yang saya bentangkan akhir tahun lalu, pelbagai ikhtiar, ruang dan platform telah diusulkan,demi pemerkasaan bakat dan potensi rakyat Johor. Ini strategi Johor untuk memastikan anak-anak Johor yang berbakat, berminat untuk tinggal dan kekal berbakti kepada tempat kelahiran mereka ini, dengan insentif dan imbuhan yang kompetetif.

Maka kini, kesemuanya terpulang kepada hadirin sekalian serta anak-anak muda berbakat kita yang lain, untuk tampil dan menggunakan segala ruang dan peluang ini dengan sebaiknya.Di pihak Kerajaan Negeri, saya akan melakukan yang terbaik dan termampu untuk membuka seluas-luasnya pintu peluang kepada semua. Semoga natijah dari semua ini, Johor akan menjadi negeri yang maju, aman dan sejahtera jua,” ujarnya.

Leave a Reply