Persiapan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor 90 Peratus Siap

GERBANG MAHKOTA / ISTANA BUKIT SERENE / JOHOR BAHRU

JOHOR BAHARU, 11 Mac — Persiapan Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sudah melebihi tahap 90 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Publisiti Istiadat Kemahkotaan Md Jais Sarday berkata persiapan tersebut merangkumi urus setia, publisiti serta penyediaan pusat media kepada petugas tempatan dan antarabangsa.

“Hanya berbaki 12 hari lagi untuk rakyat Johor menyaksikan Istiadat Kemahkotaan itu dan kami (jawatankuasa) sudah membuat pelbagai persiapan.

“Pusat media yang disediakan di Dewan Jubli Intan, di sini, mampu memuatkan 100 petugas membabitkan 20 media cetak tempatan, tujuh media elektronik dan 10 media asing termasuk National Geographic,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat media berkenaan, di sini, hari ini.

jais-sardayMd Jais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Johor berkata pusat media itu dikendalikan Jabatan Penerangan Johor dan beberapa agensi berkaitan mulai 16 Mac ini.

Menurut Md Jais, terdapat sekurang-kurangnya sembilan istiadat akan diadakan untuk kemahkotaan itu bermula 16 Mac iaitu Istiadat Meletak Kerja, Tahlil dan Doa Kesyukuran, Majlis Siram Tabal serta disusuli Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar, di sini, pada 23 Mac.

Beliau berkata selesai Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar itu, Sultan Johor dijangka berkenan menyertai perarakan kenderaan dari Istana Besar ke Istana Bukit Serene sejauh 8.5 kilometer.

“Dijangkakan 40,000 rakyat Johor daripada pelbagai kaum akan menyaksikan perarakan tersebut yang konsepnya menyerupai perarakan kenderaan semasa Kemahkotaan Almarhum Sultan Ismail pada 1960,” katanya.

Md Jais berkata pelbagai acara lain turut diadakan antaranya pameran yang dikendalikan Arkib Negara Cawangan Johor di Pusat Konvensyen Persada, di sini, dan daerah-daerah lain yang memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat Kesultananan Johor.

“Pada 23 hingga 28 Mac turut diadakan persembahan kebudayaan di Dataran Majlis Bandaraya Johor Baharu mulai 8 malam. Sultan Johor dijangka berkenan menyaksikan acara kemuncak persembahan kebudayaan yang bertemakan ‘Payung Mahkota, Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ pada 28 Mac,” katanya.

Leave a Reply