#DewanRakyat: MP BN Hilang Kepercayaan Penipuan Petisyen FreeAnwar

KUALA LUMPUR, 11 MAC : Kita hilang kepercayaan terhadap White House Online kerana amat jelas penipuan dalam petisyen ‘We The People’, yang sekadar untuk menegaskan pendirian mengikut Amerika Syarikat, (AS).

“Kita sudah beri peluang kepada mereka dan menghormati proses mereka, tapi hari ini apabila kononnya mereka tersilap menarik balik petisyen yang menyokong kepada pembebasan Anwar, itu yang betul sebenarnya.

“Yang satu lagi yang menuntut mereka jangan campur tangan dalam urusan rumahtangga, itulah yang salah dan flip flop secara begini bukan sesuatu yang baik bagi AS, bagi White House dan juga bagi kedutaan AS, kerana flip flop seperti ini hanya menunjukkan mereka hanya manipulate, hanya memusing-musing kiraan,” kata Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Samad di lobi parlimen, Rabu.

Tan Sri ShahrirBeliau mengulas tindakan pengendali laman sesawang White House membuang 60,000 penandatangan petisyen ‘Memelihara Kedaulatan Malaysia’ dan sebaliknya kembali menyenaraikan petisyen ‘FreeAnwar’.

Katanya, mustahil tanda tangan 60,000 petisyen itu diada-adakan atau palsu sehingga dikeluarkan begitu sahaja manakala petisyen FreeAnwar disambung semula dengan jumlah terus meningkat.

Shahrir menegaskan, beliau memantau kedua-dua petisyen terbabit sejak dimuat naik 12 Feb lalu dan purata penandatangan ialah sekadar 5,000 orang sehari.

Petisyen ‘FreeAnwar’ bagaimanapun menyaksikan lebih 30,000 tandatangan dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum dikeluarkan dari laman sesawang itu.

Adalah jelas manipulasi itu dilakukan pihak tertentu menerusi penipuan menggunakan sistem automatik untuk membuka akaun pengguna atau penandatangan petisyen secara berganda dan malangnya, kaedah ini diperakui pengendali IT White House.

“Kita tidak mempunyai kekuatan siber seperti itu, sebaliknya bagi pihak yang lain, pihak sebelah sana (pembangkang) memang mempunyai kegiatan siber kerana saya membaca gesaan daripada wakil daripada pemimpin DAP umpamanya menggesa ahli-ahli mereka untuk tandatangan dan mereka dikenali mempunyai ‘cyber troopers’ yang tersusun, yang teratur.

“Kami bagi pihak Ahli Parlimen BN merasakan ini bahawa satu penipuan, satu penipuan, hanya untuk tujuan untuk mengesahkan pendirian kedutaan Amerika Syarikat yang pernah mengkritik keputusan mahkamah itu sendiri,” katanya.

 

Sumber: BNBBC

Leave a Reply