Bakri perlu kembali kepada BN – Khaled

MUAR 9 Mac – Masyarakat Cina di sini terutama Parlimen Bakri diseru kembali kepada Barisan Nasional (BN) agar semua masalah yang tertunggak sejak pembangkang mengambil alih kawasan itu tujuh tahun lalu dapat diselesaikan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, banyak kemajuan serta pembangunan tidak dapat dijayakan dan dibimbangi Bakri akan terus ketinggalan berbanding tempat lain.

“Penduduk Bakri mahukan perubahan. Sudah lama masalah terkumpul dan tidak dibawa ke peringkat yang boleh didengari dengan baik oleh kerajaan sebelum memenuhi kehendak masyarakat setempat.

“Kerajaan negeri akan selesaikan semua masalah dibangkitkan masyarakat Cina dan yang penting marilah kita bersatu dalam semua perkara,” katanya berucap pada Majlis Jamuan Rakyat Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Muar, Ledang, Bakri dan Pagoh di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa 2, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Setiusaha BN negeri, Md. Jais Sarday; Naib Ketua Pemuda MCA negeri, Chris Lee Ching Yong; Pengerusi BN Bahagian Bakri, Hasan Johari; Ketua MCA Bahagian Bakri, Sia Ka Tuan dan Ketua MCA Bahagian Muar, Tay Puay Chuan.

 Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar berkata, masyarakat Cina harus memikirkan masa depan mereka dan tidak lagi membuat kesilapan pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Ka Siong yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA negeri berkata, gerak kerja untuk menawan semula kerusi Parlimen Bakri perlu dimulakan dari sekarang dengan bantuan parti komponen dalam BN.

Katanya, walaupun tewas dengan majoriti 5,067 undi dan mendapat 45 peratus undi, MCA Bahagian Bakri tidak boleh berputus asa dan harus menaruh harapan selain bekerja keras mendekati pengundi dari sekarang.

Menurutnya, tempoh hampir dua penggal pembangkang menerajui Parlimen Bakri bermula pada pilihan raya umum pada 2008 sudah cukup memberi kesengsaraan dan sudah sampai masanya untuk BN kembali di kerusi itu.

“Kita tidak nampak satu perkara yang signifikan di Bakri, kalau ada pun setakat kenyataan yang dikeluarkan (Ahli Parlimen DAP). Kita mahukan wakil rakyat yang boleh selesaikan masalah dengan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, MCA negeri juga harus memberi tumpuan merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak dalam Parlimen Ledang yang tewas kepada DAP.

 

Sumber -Utusan Malaysia

Leave a Reply