Pembangunan PBT perlu libat masyarakat

MUAR 8 Mac – Kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu mencari jalan melibatkan masyarakat secara aktif dalam mencorak pembangunan di kawasan masing-masing berikutan sistem perbandaran semakin kompleks ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendapat masyarakat dalam pengurusan kawasan perbandaran dengan pertambahan kesesakan lalu lintas dan kelestarian alam sekitar perlu dipertimbangkan.

“Begitu juga idea mereka tentang bagaimana perkhidmatan pengangkutan awam boleh dijadikan lebih berkesan selain kebersihan lingkungan, penyelenggaraan kemudahan awam selain mengambil dan memproses aduan masyarakat serta pelbagai lagi.

“(Pengurusan sistem bandar kini) tidak semudah dahulu. Lebih mencabar, kini kita berhadapan dengan masyarakat semakin lantang, berpendidikan dan kritikal dalam menuntut perkhidmatan setanding pemerhatian mereka di negara maju,” katanya.

imageBeliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam serta Perancangan Kawasan Khas Bandar Maharani Bandar Diraja dan Pelancaran Pembinaan Bangunan Baharu Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Muar (MPM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi; Ketua Pengarah Jabatan Bandar dan Desa Semenanjung, Datin Dr. Dahlia Rosly; Pegawai Daerah, Muji Salimon dan Yang Dipertua MPM, A. Ramlee Rahman.

Mohamed Khaled berkata, pera­nan masyarakat mampu menjadikan tadbir urus PBT lebih efektif, telus serta bertanggungjawab dan bukan sekadar entiti yang akur kepada segala telunjuk birokrasi agar masyarakat tidak kecewa dengan masalah dan isu yang dihadapi.

 “Pencapaian sedia ada, jauh dari memadai, saya faham bukan mudah melaksanakan mandat apabila terpaksa berhadapan dengan persekitaran yang semakin membangun dan mencabar, dan pertanggungjawaban ini adalah pada rakyat.

PBT, kata beliau, perlu mengubah pendekatan urus tadbir dan mengutamakan ketelusan, kete­rangkuman dan mesti melakukan rasionalisasi perkhidmatan dengan memperkenal sistem pengurusan berasaskan pencapaian, kecekapan dan kos yang efektif.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply