Johor Sasar 2018 Bebas Dadah Bagi Penjawat Awam Negeri

JOHOR BAHARU, 9 Mac — Kerajaan negeri menyasarkan 2018 sebagai tahun bebas dadah dalam kalangan kakitangan kerajaan terutama dengan pelaksanaan saringan air kencing wajib terhadap golongan itu di negeri ini.

AyubPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri mewajibkan seluruh penjawat awam menjalankan ujian saringan air kencing itu sejak tahun lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri serius menangani perkara itu dan usaha ini akan dibuat secara besar-besaran menerusi program ‘Johor Bebas Dadah’ yang bakal dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bulan depan.

“Kerajaan negeri berhasrat menjelang 2018, sekurang-kurangnya bagi kakitangan awam negeri, kita boleh mencapai sasaran kita iaitu bebas dadah,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Negeri Johor, di sini petang tadi.

Ayub berkata sejak awal tahun ini 2,154 kakitangan kerajaan negeri menjalankan ujian saringan air kencing dan mendapati enam orang positif dadah.

Beliau berkata tahun lepas, 18 kakitangan kerajaan negeri didapati positif dadah daripada 5,376 orang yang menjalani ujian saringan air kencing.

“Trend yang semakin meningkat ini agak membimbangkan kerajaan negeri. Ia boleh mengganggu prestasi kerja, produktiviti dan integriti kakitangan awam,” kata beliau.

Selain itu, kerajaan negeri turut menggalakkan firma swasta di negeri ini untuk turut mewajibkan ujian saringan air kencing kepada kakitangan mereka selaras dengan usaha kerajaan negeri mencegah aktiviti gejala dadah.

Ayub berkata RM850,000 diperuntukkan pada tahun lepas dan tahun ini bagi melaksanakan program membanteras, operasi dan ujian saringan air kencing bagi membasmi gejala dadah daripada berleluasa.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mencadangkan agar sasaran kerja tahunan turut melibatkan seminar mahupun bengkel untuk kakitangan awam mahupun swasta mengenai bahaya ancaman dadah.

Leave a Reply