Isu 1MDB: Ketua Bahagian UMNO Sokong Penjelasan PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Sejumlah 160 ketua Bahagian Umno seluruh negara hari ini menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang komited dalam menangani isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri yang juga presiden UMNO itu telah menjelaskan isu berkenaan dalam satu perjumpaan tertutup yang diatur ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam pertemuan itu Najib telah memberikan penjelasan berhubung beberapa isu termasuk 1MDB.

“Semua (ketua bahagian) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri kerana akhir-akhir ini beliau difitnah dan dihina.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama Perdana Menteri dalam menghadapi tekanan dan fitnah ini,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu.

Ismail Sabri yang juga Ketua Umno Bahagian Bera berkata ketua-ketua Umno bahagian memandang berat sekiranya wujud penyelewangan dalam 1MDB.

IMG_4850-e1425815917319Bagaimanapun katanya Najib mengulangi komitmennya supaya syarikat pelaburan strategik kerajaan berkenaan diaudit oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bagi menjamin ketelusannya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata perjumpaan tersebut merupakan pertemuan kali kedua. Yang pertama pada tahun lepas.

Katanya pada pertemuan pertama di kediaman Perdana Menteri, pihaknya bersetuju untuk mengadakan pertemuan seumpama itu sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Katanya selain isu 1MDB, Najib turut menyampaikan pesanan supaya anggota Umno di semua peringkat bekerja lebih kuat dalam mendapat sokongan rakyat sempena mesyuarat Agung Cawangan Umno yang bermula pada bulan ini.

Ditanya ketidakhadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perjumpaan itu, Ismail Sabri berkata Timbalan Presiden Umno itu telah menyatakan minat untuk hadir, namun mempunyai komitmen lain.

Beliau berkata beberapa Ketua Umno bahagian termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan Johor, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak hadir kerana terikat dengan komitmen kerja masing-masing.

Sementara itu, Pergerakan Wanita UMNO turut menyokong sepenuhnya arahan perdana menteri supaya Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sokongan tidak berbelah bagi itu adalah kerana kepercayaan Wanita UMNO terhadap kewibawaan Najib mentadbir kerajaan yang sentiasa membawa kepada kestabilan negara.

“Kami Wanita UMNO selaku tulang belakang sebulat suara menyokong Najib kerana kami masih percaya dengan kewibaan beliau,” katanya kepada pemberita selepas program Global Mentoring Walk (GMW) 2015 anjuran Akademi Inovasi Wanita Malaysia (MyWIN Academy) di sini, hari ini.

Shahrizat berkata serangan terhadap 1MDB merupakan taktik pembangkang untuk mengaburi kepimpinan baik kerajaan yang diterajui Najib.

“Jangan kita terpedaya dengan ‘dakyah’ pembangkang sehingga kita terlupa akan kebaikan yang dibawa oleh PM,” katanya.

Beliau berkata seramai 191 Wanita UMNO telah mengadakan persidangan tertutup bersama Najib untuk menyatakan sokongan di Putrajaya tujuh hari lepas.

Leave a Reply