BNYV Bantu Beri Penerangan Impak CBP Kepada Generasi Muda

984276_1576979445882730_2536224567119660944_nJOHOR BAHARU, 7 Mac – Sukarelawan Muda Barisan Nasional (BNYV) akan turun padang memberikan penerangan kepada generasi muda mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) termasuk impaknya terhadap harga barangan.

Pengarah BNYV Akmal Saufi Mohd Khaled berkata penerangan itu perlu untuk memastikan mereka dapat membeli barangan keperluan pada harga sepatutnya selepas pelaksanaan sistem percukaian baharu itu.

“Selain barangan keperluan asas, kita juga akan memberi penerangan mengenai impak CBP terhadap perkara lain yang banyak beri kesan kepada generasi muda seperti harga tambah nilai telefon bimbit, alat tulis dan hiburan,” katanya selepas mengedarkan Buku Panduan Harga Pengguna Zon Selatan di Pasar Tani Larkin, di sini.

Akmal berkata sesi penerangan secara santai itu sudah pun dimulakan dengan menyasarkan pelajar universiti di Lembah Klang dan ia akan diteruskan di Tanjung Piai dan Pasir Gudang di Johor dalam masa terdekat.

Menurutnya generasi muda perlu tahu mengenai impak CBP terhadap harga barangan kerana mereka lebih banyak menggunakan sesetengah barangan dan perkhidmatan berbanding golongan lain.

Beliau berkata BNYV yang mempunyai 10,000 anggota di seluruh negara bersedia menyampaikan maklumat penting mengenai CBP supaya kefahaman orang ramai mengenainya dapat ditingkatkan.

Selain itu, katanya BNYV dalam proses menubuhkan pasukan guaman dalam usaha memberi nasihat guaman percuma berkaitan pelbagai bidang.

Sementara itu, Akmal berkata program mengedarkan Buku Panduan Harga Pengguna menerima sambutan baik daripada peniaga dan pengguna yang ingin tahu maklumat impak CBP terhadap harga barangan terutama barangan keperluan asas.

Buku panduan itu, yang dikeluarkan KPDNKK, memuatkan perbandingan harga sebelum dan selepas pelaksanaan CBP untuk lebih 500 barangan keperluan asas berdasarkan kajian Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

Ia turut mengandungi maklumat untuk pertanyaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.

Leave a Reply