Jadikan Mesyuarat Cawangan Untuk Cerminkan Kekukuhan, Inklusif, Toleran dan Moderat UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru anggota di akar umbi yang bakal memulakan mesyuarat UMNO peringkat cawangan agar meletakkan asas dan perjuangan parti sebagai teras utama.

Katanya, ahli-ahli UMNO mesti memperlihatkan kepada masyarakat bahawa parti tersebut adalah inklusif dengan asas tujuan penubuhannya adalah untuk mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Sikap anggota UMNO yang toleran dan moderat mesti ditunjukkan bukan sahaja sesama ahli dalam parti tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya misalnya Ketua Cawangan, Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cawangan, Ketua Puteri Cawangan, setiausaha-setiusahanya dan semua anggota cawangan menjadi cermin kepada rakyat tentang bersatunya UMNO itu sendiri,” katanya kepada laman web rasmi UMNO-Online.

ku nannnn

Jelas beliau, setiap ahli UMNO bertanggungjawab untuk mempertontonkan kepada rakyat bagaimana kedudukan dan peranannya yang sentiasa memikirkan masa hadapan negara dengan diisi kemajuan kepada semua warga di dalamnya.

“UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai struktur organisasi yang didukung oleh ahli-ahlinya di akar umbi dan mesyuarat Cawangan ini adalah medan penting kepada parti untuk mendapatkan maklum balas dan apa-apa perkara yang perlu dijadikan keutamaan.

“Kita perlu jadikan pesan Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahukan ahli UMNO menyelami permasalahan rakyat iaitu bukan hanya ahli-ahli UMNO sahaja tetapi kepada kelompok masyarakat yang dinaungi sebagai Ketua Cawangan atau Ketua Wanita, Pemuda atau Puteri cawangan masing-masing.”

Tambahnya, walaupun UMNO itu sendiri mendukung perjuangan bangsa Melayu namun khidmat yang diberi mencakupi keseluruhan rakyat kerana Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan masyarakatnya berbilang kaum, pelbagai agama dan budaya yang berbeza.

“Ahli-ahli di akar umbi adalah teras kekukuhan UMNO yang perlu terus menjadi lambang kepada kerjasama dan keterbukaannya kepada semua pihak.”

Terang beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, tanggungjawab bagi melaksanakan mesyuarat UMNO peringkat Cawangan ini bukanlah sekadar untuk memenuhi tuntutan ROS sebagai sebuah pertubuhan tetapi juga atas kesedaran kepada amanah dalam perjuangan.

“Saya harap semua pihak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagaimana surat pekeliling yang telah dihantar dan akur kepada tanggungjawab yang ada iaitu memastikan Cawangan untuk menghantar borang 9 bersama-sama dengan penyata kewangan selepas selesainya mesyuarat dibuat.

“Jika ada permasalahan yang berbangkit, sila hubungi Ibu Pejabat UMNO untuk selesaikan masalah khususnya terhadap senarai keahlian di peringkat cawangan dan bahagian agar persidangan di akar umbi ini akan berlangsung dengan jayanya.”

Mesyuarat perwakilan UMNO cawangan akan bermula 13 Mac hingga 2 Mei ini dengan jumlah cawangan yang layak bersidang ialah 20,776 membabitkan ahli seramai 3,472,035. Bagi pergerakan sayap Wanita yang layak melakukan persidangan ialah 19,871, Pergerakan Pemuda ialah 15,111 sementara bagi Pergerakan Puteri pula ialah 10,048 orang.

 

Sumber: UMNO-Online

Leave a Reply