Peruntukan RM10 juta ?naik taraf Larkin Sentral

JOHOR BAHRU 3 Mac – Johor Corporation (JCorp) bakal menaik taraf terminal pengangkutan awam sedia ada di Larkin Sentral, di sini, dengan melibatkan perun­tukan berjumlah kira-kira RM10 juta.

imagePengerusinya, Datuk Seri Mo­ha­med Khaled Nordin ber­kata, JCorp merancang untuk memulakan kerja-kerja penam­bahbaikan itu bermula hujung tahun ini dan dijangka siap pada 2017.

“JCorp mempunyai peran­cangan untuk menaik taraf tempat pengangkutan awam sedia ada bagi membolehkan orang ramai khususnya pengguna berasa selesa dan seronok menggunakan perkhidmatan ini.

“Kerja penambahbaikan ini melibatkan susun atur tempat bas, parkir, menempatkan semu­la kaunter-kaunter bas dan pe­nyediaan ruang menunggu un­tuk penumpang yang berhawa dingin,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hentian Teksi Berpusat Larkin Sentral, di sini semalam.
Yang turut hadir, Presiden me­rangkap Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kas­sim; Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Penerangan, Pem­ba­ngunan Usahawan dan Kope­rasi negeri, Md. Jais Sarday ser­ta Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menentukan kemudahan pe­ng­angkutan awam di negeri ini, khususnya di Johor Bahru dapat memberi keselesaan kepada rak­yat.

Bagaimanapun, katanya, caba­ran utama buat masa ini adalah rakyat tidak cenderung untuk menggunakan pengangkutan awam dan salah satu usaha yang dilakukan adalah menambah baik perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.

Kata beliau, Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) juga sedang dalam rangka me­nyiapkan pelan pengangkutan awam yang akan dijadikan pan­duan semua pihak berkuasa tempat (PBT) di negeri ini.

“Usaha JCorp membina Hen­tian Teksi Berpusat melibatkan kos RM1.1 juta dan mula ber­operasi sejak 1 November lalu juga diharap dapat mengatasi kesesakan lalu lintas di sekeliling Larkin Sentral yang sebelum ini berpunca daripada teksi yang beratur di bahu jalan untuk mengambil penumpang.

“Saya difahamkan hentian ini menyelaraskan pengusaha-pengusaha teksi yang ada di Larkin Sentral untuk beroperasi di bawah satu bumbung yang dilengkapi pejabat pengurusan, ruang menunggu, laluan ber­bumbung dan 110 petak untuk teksi menunggu,” katanya lagi.

Sumber- Utusan Malaysia

Leave a Reply