Pertembungan Golongan Digelar ‘Barua’ Dan Golongan Ulama Makin Meruncing Dalam Pas

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menjangkakan akan berlaku pertembungan hebat antara golongan yang diistilahkan ‘barua’ dan juga golongan ulama di dalam muktamar yang akan datang tidak lama lagi.

16666779606_4e0ecf686c_bIni memandangkan kata beliau, konflik dalaman yang berlaku di dalam parti tersebut kini kian meruncing dan kritikal hari ini lantaran ianya berlaku secara terbuka dan tidak lagi menjadi satu rahsia baik dikalangan ahli mahupun rakyat di negara ini.

“Saya jangkakan kemuncak pertembungan antara  golongan yang dilabel sebagai barua oleh presiden Pas sendiri dan juga yang terbaru Nik Abduh dan juga golongan ulama akan berlaku pada muktamar Pas yang akan berlansung dalam masa yang terdekat ini.

“Apatah lagi perkembangan terbaru yang melihatkan pengarah strategi Pas, Dr. Dzulkifli yang dipukul oleh individu yang tidak dikenali. Sebelum ini, kereta Dr Hatta Ramli dibakar oleh puak yang tidak diketahui.

“Insiden yang berlaku ini bagi saya memperlihatkan bahawa konflik dalaman di dalam Pas kini bukan setakat hanya melalui kata-kata, tetapi ianya sudah berlarutan sehingga menggunakan kekerasan fizikal. Ini jelas membuktikan bahawa krisis dalam parti ini sudah sampai ke peringkat tidak terkawal,” jelasnya.

Beliau juga menyifatkan konflik dalaman yang berlaku di dalam parti tersebut merupakan konflik terburuk yang pernah dialami oleh Pas.

“Jika kita imbau kembali krisis yang berlaku pada tahun 1982, di mana Presiden Pas, Dr Asri akhirnya terpaksa meletakkan jawatan ekoran desakan daripada golongan ulama di dalam Pas. Waktu itu, golongan ulama Pas mahu mengambil alih pentadbiran daripada golongan bukan ulama.

“Namun hari ini ianya terbalik di mana golongan bukan ulama pula menyerang golongan ulama di dalam Pas dan mahu mengambil alih pentadbiran parti daripada golongan ulama yang ada di dalam Pas hari ini,” tegasnya.

Beliau juga berpandangan bahawa perpecahan di dalam Pas ini adalah berpunca daripada pengaruh golongan pihak ketiga seperti Anwar Ibrahim dan juga Dap, dan bukannya berpunca daripada prinsip perjuangan parti tersebut.puad video

“Konflik pada tahun 1982 menyebabkan berlakunya perpecahan di mana selepas Dr. Asri meletakkan jawatan, maka timbullah parti serpihan dari Pas seperti Berjasa dan Hamim. Dua parti ini timbul selepas Dr Asri meletakkan jawatan, namun dalam konflik hari ini, kita dapat lihat PasMa telah muncul dulu sebelum golongan ini berjaya mengambil alih kepimpinan dari golongan ulama.

“Saya kira, istilah barua yang dikatakan oleh Haji Hadi dan Nik Abduh itu merujuk kepada golongan di dalam Pas yang dilihat menjadi alat kepada pihak ketiga seperti Anwar dan Dap yang cuba menjatuhkan golongan ulama dari terus menjadi teraju utama pentadbiran Pas.

“Selain itu biarpun PasMa dilihat sebagai pengganti kepada Pas asal yang mana kepimpinannya mendapat restu daripada Anwar dan Dap, namun saya yakin bahawa krisis dalaman yang berlaku di dalam Pas ini sedikit sebanyak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pakatan pembangkang pada masa akan datang,”ujarnya.

 

Sumber: UMNO-Online

Leave a Reply