Najib Arah Ketua Audit Negara Sahkan Akaun 1MDB

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

najib1mdbMenurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Ia menyatakan perdana menteri telah memberitahu Kabinet mengenai langkah itu.

“Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian,” kata Najib.

Kenyataan itu menerangkan perdana menteri hari ini memanggil 1MDB dan juru audit mereka, Deloitte menghadap Kabinet berikutan laporan media baru-baru ini berkaitan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.

“Setelah menerima penjelasan dari 1MDB dan Deloitte, Kabinet melahirkan keyakinan bahawa tidak terdapat sebarang salah laku dalam 1MDB, dan hasrat mereka supaya syarikat itu dibenar melaksanakan hasil semakan strategiknya yang dicadangkan,” kata kenyataan itu.

Walaupun demikian, ia mengambil perhatian bahawa kerajaan telah meminta Ketua Audit Negara memeriksa akaun 1MDB sebagai langkah lanjutan.

Ia berkata 1MDB telah memberi taklimat mengenai situasi semasanya dan menjawab siri pertanyaan dikemukakan oleh menteri-menteri kabinet, termasuk perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Deloitte, katanya, memberi keterangan menyeluruh tentang urusan mereka dengan 1MDB dan mengesahkan bahawa firma itu telah mengaudit dan mengesahkan akaun syarikat berkenaan.

“Kabinet diberitahu bahawa dakwaan baru-baru ini yang ditujukan kepada 1MDB, adalah berkaitan transaksi pihak ketiga seperti Petrosaudi, bukan 1MDB.

“Pelaburan relevan 1MDB telah dikembalikan sepenuhnya dengan keuntungan signifikan yang tersedia diaudit,” menurut kenyataan itu.

Dalam respons segera, presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1MDB Arul Kanda berkata syarikat itu menyambut baik permintaan perdana menteri supaya Ketua Audit Negara mengesahkan akaun 1MDB.

Ia menyatakan akaun itu telah diaudit oleh Deloitte, salah sebuah firma terkemuka di dunia.

“Kami akan bekerjasama penuh dengan Ketua Audit Negara dan berharap hasil siasatan beliau (akan) menamatkan spekulasi baru-baru ini,” katanya.

Arul berkata adalah jelas serangan terhadap 1MDB bermotif politik.

“Ini percubaan yang terancang untuk merosakkan syarikat itu dengan menyebarkan tuduhan dan spekulasi tidak berasas, yang seterusnya berpotensi merosakkan ekonomi,” kata beliau.

Leave a Reply