Johor berpotensi jadi pengeluar utama cili

PAGOH 3 Mac – Negeri ini berpotensi besar menjadi pengeluar utama cili bagi menampung keperluan tempatan dan mengurangkan kebergantungan import bahan itu.

imagePengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) negeri, Saniah Kormin berkata, ini kerana Johor mempunyai keluasan dan kesesuaian tanah di samping kaedah penanaman moden yang boleh dipraktikkan untuk menggandakan hasilnya.

“Namun sebelum itu satu perancangan khas perlu dibuat bermula dengan menanam pokok cili dalam skala besar, kemudian melantik orang tengah atau pihak yang akan mengutip hasilnya dan selepas itu cili dikumpulkan di sebuah pusat pengumpulan.

“Ketika ini di Johor tidak ada sebuah pusat pengumpulan khas. Apabila sistem rantaian dan kemudahan ini diwujudkan, MARDI sedia menurunkan kepakaran dan teknologinya pada bila-bila masa.

“MARDI juga akan memperkenalkan benih cili tempatan bermutu tinggi selain yang diimport bagi membantu merealisasikan hasrat itu,” katanya selepas merasmikan Program Penanaman Cili Fertigasi di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pagoh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Penghulu Mukim Jorak, Mohd. Ishak Khalil yang juga Timbalan Pengerusi PDK Pagoh dan Penyelia PDK Pagoh, Fauziah Hassan.

Saniah berkata, cili boleh dijadikan sebagai tanaman utama seperti di Pasir Puteh, Kelantan yang kini merupakan pengeluar cili terbesar bagi penghasilan sos dan teknologi fertigasi boleh dipraktikkan.

 Teknologi itu sesuai digunakan untuk penanaman cili dalam skala kecil atau besar, katanya sambil memberitahu penanaman sayur-sayuran lain seperti terung dan tomato juga boleh menggunakan kaedah itu.

“Sudah ada usahawan pertanian berjaya mengamalkan penanaman kaedah ini dan MARDI sedia membantu mana-mana pihak untuk mengaplikasikan. Setakat ini di Johor hanya cili dan tembikai ditanam secara fertigasi,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply