Festival layang-layang jadi tarikan utama

JOHOR BAHRU – Kira-kira 250 pelayang dari lebih 50 buah negara menyertai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-20 selama lima hari bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Md Za’nal Misran berkata, peserta baharu dari negara seperti Poland, Romania, Liechtenstein, Scotland, Myanmar, Morocco dan Mongolia turut menyertai festival yang bertemakan ‘Mencorak Keharmonian’.

imageBeliau berkata, dijangka 150,000 pengunjung daripada dalam dan luar negara akan mengunjungi festival.

Mengenai tema yang dipilih kali ini, Md Za’nal berkata ia tepat dengan mesej festival yang mahu menjadi jambatan perhubungan dan persahabatan terutama dalam kalangan pelayang.

Festival dijangka dirasmikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat ini dan ia dijangka menjadi tarikan utama sempena Malaysia Year of Festivals 2015 (MyFest 2015).

Sementara itu ketua kontinjen dari Kelantan, Tan Cheng Hui berkata, rakyat perlu bekerjasama dalam memupuk semangat cintakan permainan tradisi seperti permainan layang-layang kepada generasi muda supaya permainan tradisi tidak pupus.

“Saya mula berminat membuat wau bulan sejak usia muda kerana pengaruh dari ayah saya yang turut menggemari wau bulan,” katanya yang mahir membuat wau sejak berumur 10 tahun.

Seorang pelajar wanita Foo Shiaw Sir, 17, berkata dia mula meminati wau sejak dua tahun lepas dan menjadikannya sebagai hobi.

“Wau melambangkan tradisi Malaysia yang sesuai bagi semua kaum dan mudah dikendalikan” kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina) Pai Chee, Mersing ini. – Bernama

Leave a Reply