“Yang Patut Pas Bimbang Calon Bebas Tajaan PasMa, PKR” – Dr Puad

KUALA LUMPUR, – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Pas sepatutnya bimbang dengan kemungkinan munculnya calon bebas di kalangan parti pakatan itu sendiri samada dari PKR dan juga PasMa, dan bukannya menaruh rasa syak dan curiga terhadap parti lain, khususnya UMNO.

Jelasnya, Pas tidak perlu bimbang dengan UMNO kerana UMNO bukanlah sebuah parti yang hipokrit yang bersikap bercakap di depan lain dan di belakang pula lain.

Datuk-Dr-Mohd-Puad-Zarkashi“Saya rasa, Pas tidak perlu bimbang dengan UMNO. Bila kita sudah nyatakan pendirian untuk tidak bertanding, maka kita tidak akan bertanding. Kita juga pastinyua tidak akan membiayai mana-mana calon bebas untuk bertanding di PRK Dun Cempaka.

“Daripada menaja calon bebas, adalah lebih baik UMNO sendiri yang bertanding. Matlamat UMNO sekiranya bertanding maka kita mesti mahu menang dalam pertandingan itu. Buat apa kita buang duit, masa dan tenaga semata-mata untuk biayai seorang calon bebas.

“Sekiranya UMNO dan BN mahu bertanding, maka kita akan bertanding memandangkan BN memperlihatkan prestasi yang baik di dalam beberapa PRK yang lepas seperti di  PRK Pengkalan Kubor, Besut dan di Teluk Intan.

 

“Tetapi, adalah lebih baik kita gunakan duit tersebut untuk membantu rakyat yang masih lagi ramai yang terjejas di Kelantan akibat banjir besar tempoh hari. Itu adalah lebih baik dan selari dengan hasrat dan pendirian UMNO untuk tidak bertanding di DUN Chempaka kerana ingin menumpukan fokus membantu rakyat di sana,” jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Mustapa Ali yang membuat kenyataan UMNO juga perlu memastikan tidak ada calon bebas bertanding di PRK Dun Chempaka, seolah-olah menuduh UMNO akan menaja calon bebas untuk bertanding di PRK tersebut.

Tambah Puad, sepatutnya Pas lebih bimbang dengan kemungkinan wujudnya calon-calon bebas yang ditaja oleh parti di dalam pakatan pembangkang itu sendiri , yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas di Kelantan untuk bertanding di dalam PRK tersebut.

“Sepatutnya Mustapa Ali kena pastikan dan semak balik semula apakah wujud atau tidak agenda di kalangan pakatan pembangkang itu sendiri untuk menaja calon bebas ekoran rasa tidak puas hati dengan  corak Pas mentadbir Kelantan.

“Mustapa Ali tak perlu bimbang dengan UMNO sebab seperti yang saya katakan tadi, UMNO tidak  suka berpura-pura.  Dia patutnya lebih bimbang dengan PKR, Pasma dan Pas kerana berdasarkan sejarah PRU yang lalu, contohnya di Bukit Besi, telah berlaku pertembungan tiga penjuru antara mereka sesama sendiri.

“Justeru itu, ingin saya katakan pada Mustapa Ali bahawa beliau tidak perlu gusar dengan kejujuran dan ketelusan UMNO, tetapi adalah lebih baik beliau dan Pas berhati-hati dengan rakan-rakan termasuk ahli-ahli mereka sendiri agar pisang tidak berbuah dua kali,” tegasnya.

 

Sumber- UMNO-Online

Leave a Reply