Rancangan pembangunan Johor tidak abai orang Melayu

JOHOR BAHRU 1 Mac – Kerajaan negeri komited untuk memastikan orang Melayu tidak dilupakan serta dipinggirkan dalam menyertai kerancakan pembangunan yang berlaku di Johor menerusi perancangan yang bersifat inklusif.

imageKomitmen tersebut disuarakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertekad untuk memastikan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau akan sentiasa melibatkan penyertaan orang Melayu, termasuk menduduki kawasan bandar.

Menurutnya, usaha tersebut bukan satu perkara baharu, malah semasa mengambil alih pimpinan kerajaan negeri ini sejak dua tahun lalu, beliau sudah menyediakan pelbagai perancangan bersifat inklusif termasuk pembinaan rumah mampu milik.

“Semasa mula-mula mengambil alih tampuk pimpinan negeri ini dua tahun lalu, kita memaklumkan kepada rakyat Johor yang kita akan bina sebanyak 28,000 rumah mampu milik menjelang 2018, sebaliknya jumlah tersebut kini meningkat kepada 42,000 unit.

“Selain itu, kita berhasrat membina lagi Taman Perbandaran Islam seperti yang sedia ada sebagai langkah memastikan orang Melayu dapat duduk di dalam bandar,” katanya ketika berucap pada pelancaran Tabung Dana Budi Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor di sini malam tadi.

Beliau berkata, selain usaha itu, kerajaan negeri melalui Johor Corporation (JCorp) juga sudah mengambil alih tapak bekas Kem Tebrau yang antara lain turut dirancang untuk dibina rumah-rumah mampu milik yang mampu dibeli orang Melayu pada masa akan datang.

Tambahnya, kawasan perindustrian Larkin yang tidak akan disambung pajakannya juga sudah dikenal pasti untuk dijadikan rizab Melayu sebagai usaha untuk mengekalkan masyarakat Melayu di dalam bandar dengan pembinaan rumah-rumah yang mampu dibeli.

“Jadi, itu adalah sebahagian usaha-usaha yang sudah dan sedang dilakukan kerajaan. Kita sudah pun menyediakan ruang yang seluas-luasnya kepada rakyat khususnya orang Melayu, terserahlah sama ada kita bersedia untuk me­rebut peluang yang ada itu atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menyeru masyarakat Melayu supaya memastikan kelangsungan budaya dan tradisi diwa­risi sejajar usaha untuk menjadi sebuah bangsa yang besar yang berbudaya tinggi dan berfikiran maju tanpa melupakan nilai-nilai tradisi sedia ada.

“Perkataan maju itu perlu di­terjemahkan sebagai penghayatan perjuangan, memahami rahsia kejayaan dan menghayati pengorbanan luar biasa pejuang bangsa yang terdahulu. Jika tidak, maka budaya Melayu dan tradisi ka­yanya akan lupus ditelan dek zaman akibat deras pembangunan,” katanya.

 

Sumber- Utusan Malaysia

Leave a Reply