Sediakan Profil Syarikat – Nasihat PUJB Kepada Pengusaha IKS

SEGAMAT – Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di ne­geri ini disaran menyediakan profil syarikat masing-masing bagi memudahkan bantuan termasuk khidmat nasihat dan geran dapat disalurkan segera kepada mereka.

10294982_1508612599393536_404925518436149198_oPengurus Besar Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), Hahasrin Hashim berkata, profil syarikat yang lengkap amat penting kerana pada peringkat awal sebarang permohonan untuk mendapatkan bantuan atau pembiayaan akan dinilai menerusi dokumen berkenaan.

“Profil syarikat selalunya dijadikan sebagai rujukan awal serta panduan kebanyakan pihak bagi mengenal pasti bentuk perusahaan dan potensi syarikat sebelum sebarang permohonan diluluskan.

“Saya lihat ramai antara usahawan negeri ini yang boleh diketengahkan, terutamanya golongan muda dan PUJB sentiasa memberi dorongan kepada mereka supaya terus berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan bersama Pemuda UMNO Bahagian Segamat ke kebun sayur milik penduduk di Kampung Spang Loi, dekat sini semalam.

Hahasrin yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri berkata, PUJB merupakan sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang berperanan sebagai pusat rujukan usahawan sama ada dari aspek pembiayaan dana, promosi, cadangan reka bentuk dan peluang menaik taraf produk serta perkhidmatan kepada golongan usahawan di negeri ini.

“Oleh itu, usahawan yang berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada PUJB kerana bidang keusahawanan menjanjikan masa depan yang cukup cerah.

“Seperti pengusaha sayur di sini, saya cadangkan agar mereka menubuhkan koperasi dan mempelbagaikan tanaman supaya mudah untuk dijual terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah dan lebih menguntungkan,” katanya.

– Utusan Malaysia

Leave a Reply