Militan: Jangan kait Maahad Tahfiz

JOHOR BAHRU  – Institusi tahfiz sama sekali tidak mendidik pelajar menjadi pengganas sebaliknya kehendak peribadi seseorang yang mendorong mereka sehingga mahu menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, faktor lain yang membuat seseorang terdorong untuk bertindak demikian mungkin juga disebabkan pengaruh rakan ataupun media sosial.

“Adalah tidak adil untuk me­ngaitkan maahad tahfiz se­ba­gai tempat latihan militan me­man­dangkan pendidikan al-Quran di institusi tersebut menentang ke­kerasan, mendampingi al-Qu­ran selain mengamalkan cara hi­dup Islam tanpa ideologi keras, me­lam­pau serta keganasan sehingga berbunuhan sesama Islam.

 “Kes seorang pelajar perempuan yang juga penuntut tahfiz di Selangor mahu menyertai IS hanyalah kes terpencil dan kita tidak boleh meletakkan kesalahan terhadap sistem pendidikan institusi berkenaan kerana ia sama sekali tidak melatih militan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Cek Bantuan Tahfiz serta Isbat Tahfiz di sini semalam.

imageAbd. Mutalip berkata, penyampaian sumbangan tersebut sebagai bantuan kepada pengurusan sekolah bagi mengadakan program tahfiz pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi menguruskan sekolah tahfiz swasta selain pemberian elaun hafazan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM2.5 juta yang turut diserahkan kepada sekolah agama dan sekolah bantuan kerajaan.

“Sehingga kini sebanyak 65 maahad tahfiz swasta beroperasi di negeri ini dan lebih separuh daripadanya masih belum berdaftar.

 “Kita akan memastikan sekolah tahfiz swasta di negeri ini berdaftar di bawah kerajaan negeri sebagai langkah memantau aktiviti pusat pengajian berkenaan,” katanya.

– Utusan Malaysia

Leave a Reply