UMNO Tidak Bertanding Di PRK DUN Chempaka

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini berkata MT UMNO memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka yang akan diadakan pada 22 Mac depan.

Jelas beliau keputusan ini dibuat bagi memberi keutamaan atau tumpuan kepada proses pemulihan banjir di negeri itu, melakukan kerja-kerja kebajikan, mengutamakan perpaduan ummah selain mengambil kira pandangan menyeluruh daripada UMNO Kelantan.

10830649_1085034988188915_8699872794836797030_oMalah tambahnya lagi, tidak semestinya Barisan Nasional perlu meletakkan calon bertanding apabila ada wakil rakyat yang meninggal dunia seperti apa yang berlaku pada PRK Bukit Gelugor tahun lalu.

 

“Kita ada beberapa sebab yang kukuh mengapa kita mengambil keputusan sedemikian. Antaranya kita nak memberi tumpuan pemulihan banjir dan kerja kebajikan yang mana kerja-kerja tersebut masih dalam proses dan banyak lagi pihak yang sepatutnya  menerima bantuan banjir belum menerima lagi dan ini kita letakkan sebagai keutamaan yang tinggi.

“Kedua kita juga memikirkan bahawa kita perlu melihat kepada usaha-usaha untuk membawa kepada perpaduan ummah walaupun kita ada perbezaan pendapat, politik  dan sebagainya kita perlu mengutamakan perpaduan ummah.

“Sebelum kita buat keputusan, kita telah mendengar pendapat daripada Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang mana badan perhubungan UMNO negeri telah pun berbincang dengan UMNO bahagaian Pengkalan Chepa. Jadi proses ini perbincangan yang agak menyeluruh telah dilakukan sebelum MT buat keputusan pada malam ini,” ujar beliau.

Berhubung PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Najib berkata MT akan membuat keputusan apabila tiba masanya kelak.

“Berkenaan Permatang Pauh kita belum tahu bila tarikh PRK tersebut kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah buat rayuan pengampunan. Jadi  MT akan buat keputusan bila sampai masanya kelak,” ujarnya.

Leave a Reply