Pertemuan PM Dan MB Kelantan Demi Rakyat Serlah Gaya Politik Matang BN

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan Persekutuan telah membuktikan kewibawaan dalam pentadbiran dan pengurusannya sebagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob di pejabatnya semalam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Prof. Dr Ibrahim Abu Shah berkata, perbezaan ideologi antara BN dan pentadbiran Negeri Kelantan yang berada di bawah Pas adalah bukti kematangan dalam berpolitik.

68-Pertemuan-PM-MB-Kelantan“Biarpun ideologi politik Pas tidak sama dengan BN dan UMNO tetapi ini bukan bermakna tidak boleh sebarang perbincangan dibuat membabitkan kepimpinan pusat dan kerajaan negeri malah apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib selaku negarawan dan pentadbir kerajaan Persekutuan adalah jelas memperlihatkan kematangannya selaku Perdana Menteri,” katanya kepada UMNO-Online.

Dilaporkan, semalam Najib telah memuat naik dua keping gambar pertemuan beliau dengan Menteri Besar Kelantan dalam laman facebooknya yang menyatakan bahawa perbincangan beberapa perkara berkaitan kesejahteraan rakyat Kelantan telah dibuat.

“Perdana Menteri melihat kepada kepentingan rakyat sebagai agenda utama tanpa mengambil kira perbezaan ideologi atau pendapat yang berbeza malah realiti perbincangan antara pemimpin UMNO dan Pas untuk duduk bersama membawa makna yang cukup besar.

“UMNO adalah parti yang berteraskan bangsa Melayu dan begitu juga Pas malahan jika dilihat kepada terasnya, Islam menjadi pengukuh yang tentunya pertemuan tersebut akan dianggap sebagai satu wajah baharu dalam suasana politik tempatan yang selama ini melihat dua parti ini adalah sebagai seteru sahaja.”

Tegasnya, keupayaan dan keikhlasan BN bukanlah satu perkara baharu malah dalam keadaan rakyat Kelantan dilanda musibah akhir tahun lalu pun kerajaan Pusat dan pemimpin UMNO adalah antara mereka yang awal-awal memberi bantuan dan turun padang.

“BN/UMNO bukan main-main dalam politik tetapi matlamatnya amat jelas iaitu untuk rakyat keseluruhan, demi bangsa dan agama dan kemajuan masyarakat sepanjang masa.

“Jika mahu dilibatkan dalam soal perbezaan ideologi tentunya tidak akan ada bantuan kepada rakyat Kelantan lantaran mereka adalah negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang namun sebaliknya, kerajaan Pusat mempunyai peruntukan untuk pembangunan rakyat termasuklah apabila bencana banjir dengan dana yang besar telah diperuntukkan.”

Selaras dengan itu, beliau mengajak semua pihak untuk menyokong usaha murni dan kerjasama antara para pemimpin demi kepentingan rakyat tanpa memikirkan pulangan peribadi atau agenda politik yang hanya menyulitkan keadaan.

“Benar kita berlawan dalam pilihan raya namun kemudiannya apabila rakyat memberikan mandat masing-masing maka apa salahnya kerjasama selepas itu dijalin demi untuk masa hadapan negara dan kesinambungan kemajuan berterusan,” tambahnya lagi.

Sumber: UMNO-Online

Leave a Reply